Sara Lapan Anak Termasuk OKU Bergantung Pada Jualan Kuih Muih

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Kehidupan sepasang suami isteri menyara lapan orang anak termasuk dua daripadanya orang kurang upaya (OKU) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, dekat sini umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang apabila hanya bergantung kepada hasil jualan kuih muih sejuk beku.

Noorfazlin Zainal Abidin, 39, berkata, keadaan semakin getir setelah suaminya, Syed Mohd. Syed Mohd. Noh yang bekerja sebagai pembantu tukang rumah sebelum ini hilang punca pendapatan sejak lebih setahun yang lalu.

Katanya, mereka perlu memberikan penjagaan rapi terhadap dua orang anak syurga iaitu Syarifah Nurul Amierah, 17, yang menghidap masalah perkembangan otak, manakala Syed Mohd. Asyraf, 5, menghidap autisme spectrum disorder dan hyperactive tahap dua.

Menceritakan detik hitam hidupnya sejak penularan pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu, Noorfazlin tanpa berselindung berkata, dia pernah hanya memberikan anak-anaknya berusia satu hingga 18 tahun itu makan nasi putih berlaukkan kicap dan ikan bilis sahaja untuk mengisi perut.

“Suami saya hilang kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu dan sejak itu dia tidak lagi bekerja apatah lagi menjana pendapatan untuk menyara keluarga. Malah duit simpanan kami juga sudah habis digunakan.

“Mahu tidak mahu, saya terpaksa membantunya mencari duit dengan membuat kuih sejuk beku untuk dijual di sekitar kawasan tempat tinggal kami. Nasib kami terus diuji apabila saya mengalami kecederaan di bahagian lutut akibat terjatuh pada November lalu yang membataskan pergerakan.

“Hasil jualan kuih-muih tidaklah besar mana, hanya sekadar lepas untuk membeli lauk untuk hari itu sahaja. Jika saya tak larat untuk membuat kuih disebabkan masalah lutut, maka, tidak ada hasil jualan dan kami sekeluarga yang makan apa sahaja yang ada atau memanaskan lebihan lauk semalam,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Pengurus Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam yang tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan bernilai RM1,000 selain akan menyelesaikan bil air dan elektrik yang tertunggak.

Malah, Mas Imran turut menawarkan anak sulung pasangan itu berusia 18 tahun yang turut kehilangan kerja sebagai pembantu kedai makan baru-baru ini untuk bekerja di Pasaraya Econsave berdekatan.

Sementara itu, Noorfazlin memberitahu, sehingga kini, dia perlu mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Tulang dan Fisioterapi di Hospital Sultanah Aminah (HSA), bagi mendapatkan rawatan susulan selain dua anak OKU yang turut memerlukan rawatan berkala di hospital sama dari semasa ke semasa.

“Dengan masalah kereta kami yang rosak, saya banyak berhabis duit bagi urusan lain seperti menaiki e-hailing untuk berulang alik ke hospital serta keperluan perubatan dan rawatan yang diperlukan. Sampai satu tahap, saya terpaksa pinjam dengan rakan dan jiran untuk membeli makanan,” ujarnya yang menerima bantuan JKM sebanyak RM400 sebulan.

Bagi yang mahu membantu keluarga Noorfazlin boleh hulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 05109-41-00003704-4. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat