Tajuddin Rahman Nasihat UMNO Jangan Desak PRU

- Advertisement -

PASIR SALAK – Parti tidak perlu mendesak kerajaan Perikatan Nasional supaya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) dalam waktu terdekat ini, kata Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) berkata, jika tindakan diteruskan, ia hanya akan menyukarkan usaha kerajaan memerangi penularan Pandemik COVID-19.

Justeru itu, beliau menyeru ahli UMNO membantu kerajaan dalam usaha memberi fokus mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus Covid-19.

“Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO, komited untuk terus membantu kerajaan menjayakan agenda negara dan membebaskan rakyat dan negara daripada pandemik ini.

“Peranan jentera pilihan raya UMNO di negeri dan parlimen yang bersedia hadapi PRU Ke-15 pada waktu ini, seharusnya digembleng untuk membantu kerajaan mengekang Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Pihatin Rakyat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu menambah, angka jangkitan harian COVID-19 yang tinggi ketika ini iaitu sekitar 5,000 hingga 6,000 kes sehari, memaksa tumpuan parti perlu dialihkan kepada isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang lebih kritikal ketika ini.

“Apabila negara berhadapan dengan trend peningkatan mendadak kes COVID-19 dan kes kematian yang meningkat, saya pesan kepada jentera parti supaya mendahului rakyat dalam isu COVID walaupun tumpuan mereka adalah kepada pilihan raya,” katanya.

Beliau menegaskan, dalam memerangi pandemik COVID-19 ketika ini, nyawa dan keselamatan rakyat adalah aspek yang perlu diutamakan.

Tajuddin menambah, seramai 3.5 juta ahli UMNO di seluruh negara boleh digerakkan bagi membantu kerajaan melandaikan lengkung rantaian Covid-19 bagi membolehkan mereka yang terkesan dengan pandemik ini berupaya meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

“Kerajaan juga perlu diberi ruang untuk memberi fokus kepada usaha vaksinasi agar 80 peratus rakyat Malaysia mendapat vaksin dan imuniti kelompok dicapai segera.,” katanya.

Setakat semalam, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) merekodkan, 4,361,358 individu sudah menerima vaksin sementara 13, 757,093 telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat