Harga Minyak Sawit Melonjak RM4,270 Satu Tan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia melonjak ke paras RM4,270 satu tan pada 9 April 2021 yang melepasi paras tertinggi RM4,247 satu tan pada 15 Mac lepas, demikian menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, antara faktor penyumbang perkembangan tersebut adalah peningkatan jumlah eksport serta kekurangan simpanan komoditi itu biarpun terdapat laporan pengeluaran mencatatkan pertambahan.

“Harga minyak lain juga tinggi dan MSM juga dijangka kekal di paras lebih RM3,500 bagi tempoh 2-3 bulan ini.

“Keadaan itu berlaku walaupun terdapat peningkatan pengeluaran pada Mac iaitu kepada 1.4 juta tan daripada 1.1 juta tan,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

MPOB menerusi Seminar Internet Minyak Sawit (POINTERS) yang diadakan secara maya pada 5 April lepas, telah mengunjurkan peningkatan eksport minyak sawit sebanyak 0.7 peratus kepada 17.5 juta tan pada 2021 berbanding 17.37 juta tan pada 2020.

Malah, MPOB yang juga pihak pengawal selia industri itu juga berharap agar tahun ini berpotensi memberi prospek lebih cerah untuk industri minyak sawit tempatan dengan kesemua indikator atau petunjuk utama dijangka mencatat prestasi lebih baik.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pemilik Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata, peningkatan pengeluaran pada April akan menyebabkan harga MSM susut daripada paras tinggi semasa dan kekal meningkat.

Beliau berkata, pengeluaran minyak sawit di Malaysia juga diunjur meningkat sebanyak dua peratus kepada 19.5 juta tan manakala eksport bertambah tiga peratus kepada 17.7 juta tan, tahun ini.

“Harga (MSM) dijangka rendah pada separuh kedua 2021 dan diunjur merosot kepada RM3,300 satu tan pada Jun dan tempoh seterusnya,” katanya pada seminar POINTERS.

Dalam pada itu, laporan prestasi minyak sawit bagi Mac yang dikeluarkan oleh MPOB pada Isnin, menunjukkan stok MSM terus menunjukkan aliran peningkatan dengan pertambahan sebanyak 12.37 peratus kepada 742,742 tan daripada 660,987 tan pada Februari 2021.

Stok minyak sawit diproses juga meningkat 9.02 peratus bagi bulan ke bulan kepada 703,228 tan daripada 645,035 tan, kata MPOB.

Secara keseluruhannya, jumlah stok minyak sawit menokok 10.72 peratus kepada 1.45 juta tan berbanding 1.31 juta tan, sebelum ini.

Selain itu, pada akhir dagangan Isnin, indeks perladangan minyak sawit di Bursa Malaysia susut 23.61 mata kepada 6960.02 berikutan aktiviti pengambilan untung dengan syarikat-syarikat besar seperti IOI Corp turun 0.48 peratus kepada RM4.18, KLK berkurangan 0.35 peratus kepada RM22.50 manakala Sime Darby Plantation merosot 0.66 peratus kepada RM4.53.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat