COVID-19: Peluang kes turun menjelang Mei tidak memberangsangkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui peluang kes COVID-19 turun kepada 500 kes menjelang bulan hadapan berdasarkan unjuran sebelum ini, dilihat tidak memberangsangkan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya melihat jumlah kes ketika ini adalah membimbangkan dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) kini mencecah 1.06.

“Ia kerana pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dilihat merosot di mana ia perlu diberi penekanan serta kerjasama untuk memastikan orang awam patuh semula prosedur ditetapkan.

“KKM akan melakukan langkah pencegahan dan kawalan dibuat khususnya dengan memberi keutamaan kepada negeri yang merekodkan kenaikan kes seperti Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor,” katanya pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kes harian COVID-19 di negara ini diunjurkan boleh menurun kepada 500 pada Mei dengan Rt kurang daripada 1.0.

Pada masa sama, Dr Adham berkata, pihaknya juga menyaksikan peningkatan membimbangkan terhadap kes COVID-19 di Sarawak yang kini merekodkan Rt, 1.08.

Beliau berkata, pihaknya akan membincangkan mengenai langkah segera yang perlu diambil termasuk keperluan sumber bagi mengekang penularan COVID-19.

“Ia termasuk melihat keperluan sumber seperti peralatan perubatan, alat perlindungan peribadi (PPE), logistik dan keperluan ujian makmal,” katanya.

Dr Adham berkata, kes peningkatan COVID-19 di Sarawak bermula sejak 9 Januari lepas dengan sebanyak 39 kluster COVID-19 dikesan membabitkan komuniti berkaitan perhimpunan, aktiviti sosial dan juga rentas daerah.

Sementara itu, Dr Adham berkata, hospital swasta akan turut serta dalam program vaksinasi fasa dua dan tiga sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Beliau berkata, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada hospital swasta bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat.

“Pembabitan hospital swasta ini adalah mengambil kira cadangan yang dikemukakan pihak hospital swasta yang tidak mahu terkecuali dalam menggembleng tenaga bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia diberikan imunisasi COVID-19 dicapai segera.

“Hospital swasta yang ingin mengambil bahagian boleh berdaftar melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) di laman web www.protecthealth.com.my bermula hari ini.

“Melalui laman web itu juga, hospital swasta boleh mendapatkan maklumat berkaitan kaedah vaksinasi, skop tugas, keperluan, kadar bayaran dan kaedah pembayaran,” katanya.

Pada masa sama, Dr Adham berkata, terdapat 203 hospital swasta di Malaysia dan KKM amat mengalu-alukan semua hospital swasta ini untuk tampil menyumbangkan sumber demi kebajikan rakyat dan negara.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat