HUSM Cipta Covid-TT Untuk Lancarkan Proses Pemindahan Pesakit

- Advertisement -

KOTA BHARU – Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian mengambil inisiatif mencipta satu produk inovasi baharu yang boleh membantu melancarkan proses pemindahan pesakit dikenali sebagai Covid-TT atau ‘Covid Transport-Tool’ .

Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, biarpun HUSM Kubang Kerian belum ditetapkan sebagai hospital untuk menempatkan pesakit COVID-19, namun pihaknya sentiasa bersiapsiaga dalam membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menangani isu COVID-19.

Katanya, projek inovasi berkenaan adalah hasil cadangan Ketua Jabatan Anestesiologi, Prof Madya Dr W Mohd Nazaruddin W Hassan serta Penyelaras Dewan Bedah, Prof Madya Dr Rhendra Hardy Mohamad Zaini dan dihasilkan oleh para petugas di Dewan Bedah HUSM.

“Covid-TT yang dihasilkan ini adalah untuk pemindahan pesakit dalam kategori pesakit dalam pemantauan (PUI) dan pesakit yang mempunyai gejala Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang menjalani pembedahan di Dewan Bedah Trauma dan dipindahkan ke wad-wad SARI, Unit Dependensi Tinggi (HDU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk proses perawatan dan pemulihan.

“Dengan adanya Covid-TT ini ia dapat mengelakkan kotaminasi rebakan terhadap persekitaran disebabkan penularan wabak COVID-19 semasa proses pemindahan pesakit dilakukan. Ia berfungsi dengan mengekalkan persekitaran tekanan negatif yang selamat semasa proses pemindahan pesakit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ahmad Sukari berkata bahan yang digunakan untuk menghasilkan Covid-TT hanya menggunakan barang kegunaan seharian dan murah seperti paip pvc, plastik jernih yang tebal, sarung tangan getah, pita pelekat, gam, hepafilter, pam vakum dan alat yang dikitar semula iaitu ‘valve trocar laparoscopic disc’ dan tubing circuit dengan keseluruhan kos berjumlah RM300.

“Walaupun alat yang dihasilkan ini ringkas jika dibandingkan dengan pengasingan pesakit dan pengangkutan (ISOPOD) yang berharga antara RM30,000 hingga RM40,000 sebuah, namun Covid-TT ini dapat menjaga keselamatan petugas yang menguruskan pesakit PUI dan SARI malah mampu memastikan staf serta pengunjung HUSM tidak terdedah kepada persekitaran yang membahayakan mereka.

“Keistimewaan Covid-TT ini, reka bentuknya direka oleh mereka yang dekat dengan perawatan pesakit terdiri daripada penyelia jururawat, ketua jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan turut mendapat kerjasama daripada Pegawai Khidmat Pelanggan Unit Perubatan Transfusi, Penolong Pegawai Perubatan ICU serta Bahagian Biomedik HUSM,” katanya.

Beliau berkata pihaknya dalam perancangan untuk menghasilkan dua set Covid-TT dalam tempoh terdekat dan alat tersebut akan diuji keberkesanannya terlebih dahulu sebelum digunakan sepenuhnya.

“Disebabkan pihak yang mengetuai projek ini mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan material bagi menghasilkan Covid-TT ini mereka hanya mampu menghasilkan satu sahaja Covid-TT bagi tempoh ini.

“Penghasilan produk inovasi baharu ini yang mampu menjimatkan kos malah hanya menggunakan bahan kitar semula ini diharap dapat memberi impak yang tinggi kepada HUSM dan masyarakat setempat khususnya dalam tempoh penularan wabak COVID-19 ketika ini,” katanya.

-Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat