KUALA LUMPUR – Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memperbetul tanggapan kononnya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada ‘final say’ atau kata putus dalam setiap keputusan parti Islam itu.
Berkongsi pengalaman bertahun-tahun selaku bekas setiausaha politik kepada Presiden PAS itu, Samsuri memaklumkan Hadi seorang pemimpin yang terbuka menerima pandangan.
“Tok Guru ada final say? Saya rasa tak begitu, saya bertahun menjadi setiausaha politik kepada Tok Guru.
“Tok Guru tahu saya bukan seorang ustaz, ulamak pun tapi bila beri pandangan-pandangan bersama rakan-rakan yang lain Presiden pun boleh terima saja pandangan-pandangan itu.
“Jadi nak kata ‘final say’ tu saya rasa jauh sekali lah.
“Berbanding dengan parti satu lagi yang Presiden dia adalah segala-galanya,” bidas Menteri Besar Terengganu itu dalam audio siar Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Rabu.
Samsuri juga menyangkal tuduhan kononnya PAS kini memakai topeng moderat.
“Saya rasa ia natural dalam PAS ini, orang-orang seperti saya dan lain-lain yang dapat bersama kepimpinan.
“Kalau tengok dari segi bilangan golongan profesional dalam PAS berbanding yang ada dalam Umno, saya rasa jauh lebih besar cuma sama ada mereka ke depan atau tidak ke depan itu saja.
“Tapi yang menganggotai think tank group kita dan lain-lain entiti ini bilangan yang cukup ramai. Jadi untuk kata mereka ini ditarik itu tidak tepat. Cuma mereka nak duduk di belakang itu saja.
“Saya rasa pendekatan PAS ada dua iaitu satu perkara-perkara dasar, polisi dan sebagainya asas PAS tidak berubah itu ada dalam Perlembagaan apa yang diperjuangkan tinggal lagi cara itu bergantung kepada suasana, keadaan itu boleh berubah-ubah dari segi cara pendekatan,” jelas beliau.