KUALA LUMPUR – Pas tidak menghalang mana-mana pemimpin parti itu merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti September ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiada sekatan dikenakan terhadap mana-mana pemimpin bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan dan ia terbuka kepada semua ahli yang layak.
Menurutnya, tiada calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden yang disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan-pemilihan sebelum ini.
“Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas terbuka untuk dipertandingkan. Parti tak pernah tegah untuk calon bertanding, cuma tidak ada yang menawarkan diri untuk rebut jawatan tersebut dalam pemilihan,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis amanat tahun 2025 Menteri Besar Kedah kepada pentadbiran tanah negeri di Alor Setar pada Khamis.
Sanusi berkata, Pas tidak pernah membuat sebarang ketetapan untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi parti itu.
“Kita (Pas) tak ada sekatan, tak ada ketetapan jawatan tertinggi tidak dipertandingkan. Tidak pernah ada (arahan), sesiapa yang berhasrat mahu bertanding silakan, cuma mungkin ada calon tapi dia segan (malu) nak cabar Presiden,” lapor Sinar Harian.
Menurut Sanusi lagi, sudah sampai masanya Abdul Hadi diberikan peranan baharu seperti penasihat dan bukan lagi berstatus Presiden parti.
Malah, katanya, untuk kekal relevan parti itu perlu melakukan pembaharuan dalam barisan kepimpinan dengan menggabungkan kepimpinan lama dengan pemimpin muda khususnya teknokrat sebagai formula baharu parti itu.
Muktamar Tahunan Pas ke-70 dijadualkan diadakan di Kedah pada September ini.
Pada 31 Januari, penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, Pas memerlukan formula baharu untuk menghadapi cabaran politik masa hadapan khususnya bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).