Oleh Zihan Zari
BUKIT KAYU HITAM – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 36,004 kilogram (kg) makanan haiwan (petfood) dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat sini, pada Rabu.
AKPS dalam kenyataannya berkata, rampasan itu dilakukan ketika pemeriksaan rutin di laluan pemeriksaan kenderaan berat pada jam 7.40 malam.
“Hasil pemeriksaan teliti oleh AKPS mendapati sejumlah 8,000 kg makanan haiwan yang diisytiharkan tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan kerana mempunyai tarikh luput yang berlainan dengan sijil kesihatan, ”kata kenyataan itu.
“Manakala selebihnya 28,004 kg lagi tidak mempunyai permit import yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),”katanya.
“Kesalahan tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Semua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM 75,481 itu telah diserahkan kepada MAQIS Kedah untuk siasatan dan tindakan lanjut,”katanya lagi – SUARA.TV