Jangan Salahkan Poster Boy Atas Kekalahan Teruk Umno – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Takdir keputusan corot Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan salah poster boy, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya menegaskan tidak perlu jadikan polemik dan mencari-cari kesalahan.

“Saya nukilkan secara ringkas latar belakang perjalanan kita selepas PRU-14, sebagai ingatan untuk meneruskan langkah, selepas rakyat membuat perhitungan pada PRU Ke-15. Kita perlu sentiasa ingat, walaupun kita berada di Putrajaya, nadi kita tetap di sini, di rumah agam UMNO ini. Setiap langkah yang bakal kita ambil, rumah kita ini jangan kita tinggalkan. Keberadaan kita di Putrajaya, adalah hasil percaturan kita di sini.

“PRU15 ditakdirkan kita hanya memperolehi 30 kerusi Parlimen, berbanding 43 kerusi yang kita wakili ekoran pelbagai episod pengkhianatan selepas PRU-14 lalu. Kekalahan ini sudah tentu mengundang pelbagai pandangan dan desakan, malah tidak kurang juga kecaman. Namun apa yang lebih penting kini, bagaimana kita mahu mengorak langkah ke hadapan.

“Kita boleh sahaja menggariskan pelbagai alasan dan punca, dengan menuding jari ke sana sini. Akan tetapi janganlah kita menjadi telunjuk lurus kelingking berkait.

“Saya boleh sahaja menggariskan; adanya kempen pilihan raya calon kita memburukkkan partinya sendiri. Umno katanya parti korup, Umno sudah rosak, sudah sesat dan pelbagai nista dilemparkan. Sehingga ucapannya dijadikan modal pihak pembangkang menyerang kembali Umno. Boleh juga saya menyebut, poster boy….poster boy perlu bertanggungjawab sepenuhnya, kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam PRU15.

“Jika ini hendak dijadikan polemik, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita akan terus mencari-cari kesalahan. Maka dengan sebab itu, jangan kita nafikan usaha-usaha parti, dalam menghadapi pilihan raya umum, telah dibuat sebaik mungkin,” kata Zahid dalam ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, pada Jumaat.

Tidak adil juga tuduhan kononnya dalam soal pemilihan calon,tegas beliau Presiden Umno bertindak bersendirian.

“Daripada 119 calon UMNO, hanya enam sahaja yang bertukar di saat akhir, atas beberapa pertimbangan. Bakinya 113, adalah hasil rundingan dengan Pengerusi Perhubungan Negeri bersama Top Five.

“Saya sebutkan dua perkara utama ini, kerana ia secara sendirinya boleh meleraikan segala nista dan cacian yang dilemparkan kepada parti. Khususnya terhadap saya secara peribadi. Apakah dengan usaha yang melibatkan semua struktur kepimpinan parti, boleh dijadikan alasan kononnya saya mengecilkan peluang kemenangan? Apakah dengan menampilkan muka-muka baharu, sebagai satu proses pembaharuan dalaman parti juga, merupakan satu langkah mengecilkan peluang kemenangan? Atau apakah mengurangkan persepsi Umno adalah parti war lord, juga boleh ditafsir sebagai langkah mengecilkan peluang kemenangan parti?

“Jika muka baharu yang tewas pada PRU15, muka lama dengan nama besar juga tewas. Saya sendiri ditentang oleh tokoh dari Parti Keadilan Rakyat di Bagan Datuk. Apakah ini bermakna, saya ada perjanjian sulit dengan Pakatan Harapan? Apakah saya sendiri mahu mengecilkan peluang kemenangan saya di Bagan Datuk? Saya kira dengan iman yang ada, tepuk dada tanya iman.

“Memilih gabungan parti lain sebagai gabungan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan, adalah bersandarkan persefahaman awal di peringkat parti kita, bahawa tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan. Saya pernah membayangkan perkara ini semasa Ucapan Dasar Presiden Tahun 2020. Izinkan saya untuk memetik semula bait-bait ucapan berkenaan di para 49, 50 dan 51 ucapan berkenaan. Saya petik:

“Adakah sesuatu yang mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina “political reset” yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini? Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan kewujudan sebuah ‘unity government’ demi kestabilan politik negara.

“UMNO sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU15 nanti. Namun, terlebih dahulu Umno wajib terus direlevankan dan mendominasi politik tanah air. Justeru, kita perlu dominan, baharulah kita relevan.

“Untuk itu, kepimpinan Umno di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini”, kata Zahid. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat