KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bersidang malam ini hanya membincangkan persiapan dan usul yang akan dibahas dalam Persidangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 esok.
Rata-rata pimpinan Umno yang ditemui memaklumkan, MKT malam ini tidak menyentuh soal perebutan jawatan tertinggi parti sebaliknya lebih bertumpu kepada usul dan ucapan dasar Presiden Umno.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, MKT malam ini juga menerima laporan daripada wakil-wakil MKT yang hadir ke persidangan sayap-sayap parti yang telah berlangsung hari ini.
“MKT malam ini cuma membincangkan kandungan ucapan yang akan dibawa ke PAU esok, Pengerusi Tetap Umno telah membuat laporan tentang persiapan esok.
“Berkenaan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) kita akan bincang dalam mesyuarat MKT yang lain,” kata Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika ditemui media di Lobi Menara Datuk Onn pada Khamis.
Sementara itu, ahli MKT yang juga Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga memberitahu perbincangan berkisar rencana PAU 2022 esok.
“Berkenaan isu politik Sabah bincang dalam sidang MKT yang lain.
“Mesyuarat malam ini cuma berkisar ucapan Presiden Umno, usul dan pindaan Perlembagaan parti,” kata beliau.
Manakala ahli MKT, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga memberitahu MKT malam ini berlangsung ringkas kerana tiada isu baru dibincangkan sebaliknya lebih menjurus kepada urusan ‘housekeeping’ membabitkan usul dan persiapan tempat duduk perwakilan.- Suara.TV