“Saya Maafkan, Tapi Sukar Melupakan” – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa sukar untuk beliau melupakan gerakan dalaman Umno yang berusaha menyingkirkannya yang dicatur Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau rundingan pintu belakang itu menyerlahkan sikap dan nafsu politik serakah peribadi mereka yang terlibat.

“Secara dasarnya keputusan yang dibuat adalah secara bersama. Mereka yang berada dalam kerangka kepimpinan parti mengetahui dan menyedari bagaimana keputusan ini dicapai. Walaupun telah ada akujanji. memberikan kuasa kepada Ketua Utama Parti, untuk merundingi soal penubuhan kerajaan, kita tetap membuat keputusan, bersandarkan semangat musyawarah sesama kita.

“Ketika itu, ada gerakan dibuat, untuk menyingkirkan Pengerusi Barisan Nasional(BN). Malah kita tahu, ada rundingan pintu belakang telah diatur dengan Perikatan Nasional…Langkah St Regis. Saya tidak mahu mencanangkan di sini, siapa dan apakah gerakan itu. Kerana bagi saya, apa yang telah berlaku, makin menyerlahkan sikap dan nafsu politik serakah peribadi mereka yang terlibat, tanpa mereka memikirkan mudarat kepada parti.

“Saya memaafkan tapi sukar melupakan”,tempelak Zahid dalam ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Zahid menjelaskan kronologi mengapa Umno memilih bersama Pakatan Harapan (PH) bukannya Perikatan Nasional (PN) katanya, Umno telah mengadakan rundingan dengan PH dan PN, secara berasingan dua hari selepas PRU15.

Ujarnya, dalam perundingan tersebut, Umno telah meletakkan beberapa asas utama, termasuk dalam soal Islam, Melayu dan Bumiputera, yang perlu disepakati bersama.

” Begitu juga dalam soal pembentukan Kabinet. Malah dalam cadangan kita, kita menetapkan agar kerajaan yang dibentuk, ia tidak boleh diidentitikan dengan nama parti. Sebaliknya mestilah dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“PH dalam responnya secara bertulis, menyatakan persetujuan, , terhadap perkara-perkara asas utama yang perlu disepakati Bagaimanapun PN dalam maklum balasnya, hanya menyebut sedia mempeertimbangkan perkara-perkara yang telah kita usulkan.

“Selain itu, penolakan PN terhadap titah usulan Yang di-Pertuan Agong, untuk dibentuk kerajaan perpaduan. Penolakan ini disebabkan ketua PN mendakwa, telah mempunyai jumlah Akuan Bersumpah (SD) yang mencukupi, untuk membentuk kerajaan. Rupa-rupanya Akuan Bersumpah ini, termasuk 10 daripada wakil Barisan Nasional (BN) yang telah memenangi kerusi Parlimen pada PRU15, tanpa merujuk kepada parti.

“Ini juga menjadi faktor kenapa kita tidak boleh bersama PN. Belum pun subuh, pengkhianatan telah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri. Sedangkan seperti yang saya sebutkan tadi, kita telah ada dokumen perjanjian dan akuan bersumpah serta akujanji, kerusi yang dimenangi adalah hak mutlak parti,” jelas Zahid.

Atas sebab itu, katanya, Umno berbincang dan bersetuju, untuk membentuk kerajaan bersama PH dengan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.

“Apabila keputusan ini dicapai, muncul pula suara-suara dalaman kita dengan hujah, bukankah kita telah buat keputusan dalam PAU, No Anwar, No DAP. Namun kelompok yang bersuara ini, tidak pula menyebut Perhimpunan Agung Umno juga membuat keputusan dan ketetapan No Bersatu. Dibangkitkan lagi tuduhan kita melanggar keputusan Perhimpunan Agung yang telah menyatakan No Anwar, No DAP.

“Namun sebagai sebuah parti berperlembagaan, kita membuat keputusan sesuai dengan Perlembagaan Umno. Dalam Perlembagaan kita Fasal 9.1 menyebutkan “Majlis Kerja Tertinggi adalah menjadi badan yang menjalankan pentadbiran hal-ehwal Umno di bawah kekuasaan dan perintah Perhimpunan Agung dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak Perhimpunan Agung pada masa ketiadaannya tetapi segala langkahnya itu hendaklah dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung”.

“Selain itu, pendirian kita adalah selaras dengan perakuan yang kita berikan kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk menerima titah usulan Baginda, supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan. Pada masa yang sama Pakatan Harapan juga bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebaliknya Perikatan Nasional menolak titah berkenaan.

“Makanya, sesuai dengan Perlembagaan Parti dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi telah membuat keputusan, berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan mudarat besar kepada parti. Malah kita juga turut membuat pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi. Pakatan Harapan mempunyai jumlah kerusi terbanyak, iaitu 82 berbanding 73 yang dimenangi oleh Perikatan Nasional. Rakyat telah memberikan mandat lebih besar kepada Pakatan Harapan, dan atas semangat demokrasi, kita memilih jumlah majoriti yang lebih besar. Setelah dibahaskan, Majlis Kerja Tertinggi membuat ketetapan untuk memilih bersama Pakatan Harapan bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat