Kerajaan umum pelbagai bantuan buat pengusaha PMKS untuk bangkit semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebagai usaha memberi nafas baru kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang teruk tekesan dengan pandemik COVID-19 dan banjir besar yang melanda negara mutakhir ini kerajaan telah mengumumkan beberapa bentuk bantuan buat pengusaha terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kempen jiwa SME dan persidangan REBOOT NOW! anjuran Astro Awani memberitahu, negara kita masih bergelut dengan wabak COVID-19 malah belum pulih sepenuhnya daripada banjir.

“Walaupun pandemik ini sudah reda sedikit, namun kita harus sentiasa berwaspada terhadap varian yang baru seperti varian Omicron yang sudah mula merebak di negara kita.

“Pada 16 Disember 2021 pula, beberapa negeri mula dilanda banjir yang besar. Saya sempat turun ke kawasan yang terkesan termasuk Dengkil, Taman Sri Muda, Bukit Lanchong, Puchong, Jeli dan beberapa rancangan FELDA,” katanya.

Mustapa memaklumkan, kerajaan sedar bahawa pengusaha-pengusaha PMKS telah mengalami kerugian yang besar berikutan kemusnahan peralatan dan stok.

Susulan itu kata beliau, kerajaan telah pun mengumumkan beberapa bentuk bantuan yang sudah pasti dapat meringankan beban Keluarga Malaysia termasuk PMKS.

“Sebagai contoh, bagi membantu PMKS, Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM500 juta menerusi Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) 2022. TEKUN Nasional pula memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta bagi PMKS yang terkesan tanpa faedah serta moratorium bayaran balik,” umum beliau.

Untuk rekod terdapat 1.15 juta PMKS di Malaysia malah PMKS merupakan tunjang kepada negara.

“Selain merangkumi lebih 97 peratus perusahaan, sumbangan PMKS kepada ekonomi dari segi pekerjaan adalah kira-kira 48 peratus.

“Di bawah RMKe-12, pendigitalan PMKS telah digariskan sebagai salah satu pemacu perubahan yang akan mendorong pembangunan negara,” ujar Mustapa.

Ulas beliau lagi, COVID-19 telah mengubah landskap perniagaan dan membawa kepada pertumbuhan pendigitalan yang pesat.

“Ramai pengusaha telah mula mengadaptasi platform e-dagang seterusnya meningkatkan penggunaan digital dalam perniagaan.

“Sebanyak 490,000 PMKS telahpun menggunakan platform e-dagang pada hujung tahun 2020. Dalam hubungan ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan transaksi e-dagang melonjak sebanyak RM71.7 bilion daripada RM196 bilion pada suku tahun pertama 2020 kepada RM268 bilion pada suku kedua 2021,” katanya.

Mustapa menambah, pada tahun 2021, perkhidmatan penghantaran makanan turut berkembang sebanyak 35 peratus di Malaysia.

Katanya, perkembangan dalam kedua-dua perkhidmatan ini membawa kepada peningkatan sebanyak US$7 bilion dalam nilai jualan secara keseluruhan atau Gross Merchandise Value.

Hal ini jelas bahawa ekonomi gig semakin penting di negara kita dimana kebanyakan mereka adalah PMKS.

“Banyak perusahaan berjaya dalam mengadaptasikan pendigitalan dalam perniagaan masing-masing. Misalnya, myBurgerLab, BloomThis, HausBoom, KPJ Healthcare dan Les’ Copaque merupakan contoh perusahaan yang berjaya mengadaptasikan platform digital untuk meluaskan pasaran mereka.

“MyBurgerLab telah mengiklankan produk mereka di laman YouTube dan aplikasi “Animal Crossing” berjaya mengutip RM50,000 dalam masa 24 jam dengan penjualan e-voucher. Kincirmas Sdn Bhd pula merupakan pengeluar minuman jus dan teh menggunakan perkhidmatan Google Ads untuk mendapat agen. Syarikat yang terpaksa menghentikan operasi kilang dan memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja pada awal pandemik ini akhirnya berjaya menembusi pasaran
antarabangsa dengan menggunakan platform digital,” katanya.

Dalam pada itu menurut Mustapa, menjelang tahun 2025, sekurang-kurangnya 90 peratus atau lebih 800,000 PMKS dijangka akan melaksanakan pendigitalan dalam operasi perniagaan mereka.

“Dalam menggalakkan pendigitalan dalam kalangan PMKS, sebanyak RM200 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan 2022 melalui skim geran pendigitalan PMKS untuk membantu usahawan mikro Bumiputera secara khusus.

“Sebanyak 1,083 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) akan beroperasi menjelang hujung tahun ini. PEDi berperanan untuk menyokong perusahaan khususnya di luar bandar yang berhadapan dengan kekangan alat peranti dan sambungan internet.

“Selaras dengan RMKe-12, PMKS akan lebih menumpukan perhatian kepada pasaran antarabangsa. Kerajaan akan membantu PMKS yang berpotensi tinggi untuk mengeksport dengan memberi bantuan dalam bentuk khidmat nasihat, risikan pasaran antarabangsa, pendaftaran IP serta pembangunan jenama dan produk.

“Kempen Jiwa SME yang dianjurkan oleh pihak Astro ini merupakan satu inisiatif yang amat dialu-alukan. Kempen ini memberikan dimensi baharu dalam bidang keusahawan dengan menyokong para usahawan dan peniaga ke arah inovasi dan pendigitalan.

“Selain itu, kempen ini dapat memberi motivasi serta peluang pekerjaan dan perniagaan kepada PMKS,” ujar beliau.

Mustapa menyeru PMKS harus sahut cabaran untuk menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi
negara. Pihak Kerajaan komited dalam menjadi pemudah cara kepada sektor swasta bagi meningkatkan prestasi ekonomi negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat