Wan Rosdy Merintis Agenda Pemulihan Alam Sekitar Pahang

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan khazanah alam yang sebegitu banyak, Negeri Pahang Darul Makmur sering menjadi tumpuan mata rakyat Malaysia, terutamanya mengenai perkara-perkara berkaitan pengambilan hasil alam, khususnya dalam hal pembalakan dan perlombongan.

Setiap kali berlakunya banjir besar di negeri tersebut, masyarakat (dengan maklumat yang mereka kutip dari media sosial) terus mengecam pentadbir negeri, manakala selebihnya cuba pula untuk mengaitkan dengan figura-figura berpengaruh tertentu, yang dikatakan menggalakkan pengambilan tanah untuk kegunaan komersil.

Lebih parah lagi apabila tuduhan-tuduhan ini cuba untuk meyakinkan rakyat bahawa pengambilan tanah dan hasil hutan ini hanya menguntungkan towkey-towkey balak dan orang-orang tertentu di Negeri Pahang sahaja.

Sedangkan jika kita lihat laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Kayu Kayan Malaysia (Malaysian Timber Council), kita akan mendapati bahawa nilai export terkini (Januari hingga Oktober 2021) kayu Malaysia ke luar negara menyumbang sebanyak RM17.95 bilion kepada pendapatan Malaysia.

Manakala untuk sektor perlombongan pula, menurut Laporan Perkembangan Ekonomi Malaysia 2021 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), walaupun prestasi industri tersebut merosot sebanyak 3.6%, ia tetap menjadi antara penyumbang terbesar di dalam KDNK negara (S2: 2021 13.9%).

Apa yang penulis boleh katakan, sebagai sebuah negara membangun yang masih lagi bergantung kepada perusahaan dan sektor ekonomi yang melibatkan hasil bumi, pengambilan hasil alam untuk kegunaan eksport dan dalam negara adalah suatu perkara yang tidak boleh dielakkan.

Ini kerana ekonomi negara masih perlu bergantung kepada hasil bumi ini untuk survival ekonomi yang manfaatnya secara langsung ataupun tidak langsung akan dapat dirasai oleh kita semua.

Selain industri perkayuan dan perlombongan, hal-hal lain seperti pembangunan infrastruktur yang amat diperlukan oleh rakyat Malaysia turut mendatangkan impak kepada alam sekitar.

Pembinaan lebuh raya yang merentas belukar dan menebuk bukit bukau sebagai contoh, turut menyebabkan gangguan terhadap habitat haiwan dan memusnahkan tumbuhan di dalam hutan-hutan di negara ini.

Begitu juga dengan penambakan tanah pantai dan juga aktiviti cari gali di pesisiran negara, ini semua mempunyai impaknya tersendiri, sekaligus menyebabkan kemusnahan alam.

Apakah kita harus menolak pembangunan secara total demi kepentingan alam sekitar semata-mata? Setiap perbuatan yang kita lakukan di muka bumi ini sekecil mana pun tetap akan mendatangkan kesan kepada alam.

Pokoknya di sini adalah KESEIMBANGAN. Setiap perkara yang dilaksanakan haruslah seimbang, sekiranya terdapat pembangunan, maka perlu disertakan dengan pemuliharaan. Perkara ini telahpun diamalkan di negara-negara barat puluhan tahun sebelum ini dan kita di Malaysia perlu juga mengadaptasi amalan ini bagi memastikan setiap pembangunan yang dilakukan tidak terus memusnahkan khazanah alam yang tidak ternilai di negara kita.

Wan Rosdy & Pemuliharaan Alam Sekitar:
Penulis mengikuti perkembangan pembangunan dan kesan terhadap alam sekitar Negeri Pahang Darul Makmur sejak dari tahun 2008 sehinggalah sekarang.

Apabila Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memegang tampuk pentadbiran negeri Tok Gajah tersebut, kita melihat pendekatan yang lebih baik dalam pengurusan hasil alam dan pemuliharaan flora & fauna mula diamalkan di negeri itu.

Bermula pada tahun 2018, kita telah melihat Pahang di bawah pentadbiran beliau menjalankan aktiviti pemulihan secara agresif yang mana memperlihatkan pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi menentang pencemaran dan memastikan alam sekitar dipulihkan secara berperingkat, tanpa menganggu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fasiliti.

Begitu banyak kejayaan pentadbiran beliau untuk dinyatakan di sini, namun penulis memilih lima (5) kejayaan terbesar beliau untuk tatapan para pembaca. :-

1. Pemulihan Sungai Ichat (Cameron Highlands):
Sungai Ichat yang dahulunya tercemar teruk akibat aktiviti peneroka kebun haram berjaya dipulihkan apabila keadaan airnya kini berada pada tahap yang baik dan selamat untuk digunakan.
Sungai Ichat kini berada pada tahap satu berbanding sangat tercemar sehingga tahap empat sebelum ini.

2. Pewartaan 780.94 Hektar Hutan Sebagai Kawasan Tadahan Air:
Kerajaan Negeri Pahang telah mewartakan seluas 780.94 hektar hutan sebagai Hutan Tadahan Air (HTA) melibatkan hutan di dalam daerah Maran dan Kuantan.

Ini melibatkan kawasan seluas 443.73 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) Berkelah, Maran dan 337.21 hektar HSK Lepar, Kuantan.

Tambahan kawasan ini menjadikan keseluruhan HTA di Pahang seluas 343,503.35 hektar. Pewartaan HTA bermakna tiada sebarang aktiviti pengusahahasilan boleh dilakukan dalam kawasan yang disifatkan sensitif alam sekitar

3. Sempadan Hijau Negeri Pahang:
Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan inisiatif “Sempadan Hijau” yang melibatkan hutan-hutan di sempadan Negeri Pahang dengan negeri Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor. Kawasan sepanjang 26.806 km dengan keluasan 557.585 hektar ini turut akan diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (H.S.K) untuk memastikan khazanah alam di kawasan-kawasan ini terus dipelihara demi tatapan generasi masa hadapan.

4. Pewartaan Hutan Simpan Sungai Ikan:
Untuk menjaga alam sekitar dan lembangan sungai, khususnya di Cameron Highlands, Kerajaan Negeri telah mewartakan 7.085 hektar kawasan di Kampung Raja, Mukim Ulu Telom, Cameron Hinglands sebagai Hutan Simpan Sungai Ikan.

Kerajaan Negeri juga akan mewartakan empat (4) lagi kawasan di Mukim Ulu Telom dengan keluasan 337.625 hektar sebagai hutan simpan (H.S.) iaitu, H.S Sungai Terla (43.715 hektar), H.S. Sungai Telom (90.513 hektar), H.S. Sungai Lemoi (50.165) dan H.S. Sungai Bertam (153.232 hektar). Jumlah keseluruhan 344.71 hektar hutan simpan baharu ini dijangka akan dapat meningkatkan lagi usaha kerajaan negeri untuk memeliara alam sekitar, khususnya di kawasan tanah tinggi Pahang.

5. Keluasan1.6 juta hektar hutan Pahang sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal (H.S.K)

Pada ketika ini kawasan H.S.K Pahang adalah seluas 1.6 juta hektar yang meliputi 57% daripada keseluruhan kawasan berhutan di negeri ini. Sejak Mei 2018, kerajaan negeri telah mewartakan sebayak 16,020 hektar H.S.K secara berperingkat. Ini tidak termasuk penambahan keluasan kawasan Hutan Tadahan Air (H.T.A) yang mana setakat September 2021 kira-kira 343,503.35 hektar telahpun ditambah.

Jelas di sini, sungguhpun masih lagi terdapat beberapa masalah di negeri tersebut, Datuk Seri Wan Rosdy telah memulakan langkah-langkah progresif bagi merencanakan inisiatif pemulihan dapat dijalankan di Pahang.

Sememangnya pemulihan alam sekitar akan mengambil masa untuk melihat hasilnya secara nyata, namun apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Wan Rosdy pada ketika ini dilihat sebagai satu langkah perintis untuk memastikan Negeri Pahang dan juga Malaysia bergerak ke arah pengurusan alam yang lebih mampan (sustainable).

Setiap inisiatif pemuliharaan yang dijalankan tidak kira sekecil mana sekalipun, sudah pasti akan meningkatkan lagi kebolehupayaan alam sekitar kita untuk dipulihkan. Namun, pujian harus diberikan atas daya usaha kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur pada hari ini kerana masih terus komited dalam memastikan khazanah alam negeri tersebut terus dibela.

Penulis menjangkakakan, sekiranya inisiatif yang dibuat oleh beliau ini diteruskan, Negeri Pahang akan berupaya untuk menjadi model kepada rantau ini dalam kaedah pengurusan hasil alam yang lebih pragmatik, yang mana pembangunan terancang diselarikan dengan pemuliharaan persekitaraan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat