Sambutan luar biasa

- Advertisement -

SEJAK membina nama di Filipina beberapa tahun lalu, penyanyi Min Yasmin, 33, menerima pelbagai maklum balas positif daripada peminat serta penganjur yang begitu menghargai bakatnya.

Mengakui segala pengalaman yang dilalui sesuatu yang tidak boleh dijual beli, Min bersyukur dengan limpahan rezeki yang diterima di negara terbabit.

Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz berkata, dia tidak menyangka apabila kehadirannya menerima ‘lampu hijau’ daripada masyarakat di sana.

“Saya selalu cakap dengan suami, setiap saat di sana memang betul-betul lain dan berbeza. Ia sangat berharga, mungkin saya sendiri tidak dapat merasai situasi sedemikian di tempat lain setakat ini.

“Misalnya ketika baru saja tiba di lapangan terbang, mereka sudah setia menanti. Siap dengan sepanduk yang besar. Sanggup cetak poster dan sebagainya. Malah saya pernah diiringi kawalan tentera.

“Ada wakil media tempatan sebelum ini yang pernah datang menonton persembahan saya di sana tahu situasi itu. Ke mana saja saya bergerak akan ada yang kawal. Boleh lihat dalam muzik video lagu Belum Lelah Setia. Itu hanya kunjungan saya melawat pulau-pulau sekitar. Awalnya memang tak rancang untuk melakukan muzik video.

“Kalau ada kawalan, biasanya dalam 15 hingga 20 anggota tentera yang berkawal jika ia membabitkan kawasan pulau, dengan pihak marin lagi. Memang mereka kawal betul-betul,” katanya.

Menurut isteri kepada komposer Julfekar itu, dia juga mendedahkan ada ditawarkan jet peribadi untuk membawanya ke Filipina bulan lalu.

“Jujurnya kebelakangan ini saya sudah ada terima beberapa undangan nyanyian di sana. Malah akhir tahun lalu, ada pihak yang sudi ambil saya di Sabah dengan jet peribadi untuk satu persembahan makan malam.

“Tidak dinafikan, industri muzik di sana adalah perniagaan yang besar. Namun, selama saya terima jemputan untuk membuat persembahan di Filipina, saya tidak pernah sebut harga.

“Selalunya penganjur akan kongsi berapa bajet mereka terlebih dulu. Ada sebahagian bayaran persembahan diterima dalam Dollar Amerika Syarikat dan ada juga dalam nilai Peso Filipina,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Min yang kini muncul dengan album berjudul Min Yasmin: World On A String bakal mengadakan konsert Min Yasmin Live In Sandakan pada 11 dan 13 Mac ini di dua lokasi berbeza.

Bercerita mengenai sambutan konsert di Sandakan yang bakal berlangsung di Sabah Hotel, Sandakan dan konsert terbuka yang bakal berlangsung di Tiong Hua Hall, Sandakan pada 13 Mac depan, Min mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa diterima.

“Alhamdulillah konsert solo yang diadakan secara tertutup di Sabah Hotel sudah habis terjual. Saya sangat terkejut dengan maklum balas positif yang diberikan peminat di sana.

“Pihak penganjur juga bersetuju untuk menambah 16 lagi meja pada konsert terbabit. Insya-Allah saya akan menjayakan konsert ini dengan sehabis baik,” katanya.

Konsert yang menelan kos sekitar RM50,000 itu bakal mengikut segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Saya sudah ada beberapa perancangan yang ingin dilakukan pada konsert ini nanti. Saya ingin meninggalkan satu memori indah di tanah air sendiri.

“Kalau sebelum ini saya selalu sibuk memenuhi permintaan di Filipina, tapi sekarang ini saya mahu menghiburkan peminat di sini khususnya di negeri Sabah,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat