Pelawak perlu lebih cerdik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Shiro, Shahrol berpendapat lawak dan jenaka perlu ada batasan, namun, ia perbuatan melampau apabila melepasi garisan dengan menggunakan kandungan agama.

Shahrol berkata, perbuatan seorang wanita didakwa menghina agama Islam dengan membuat persembahan komediri di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, Sabtu lalu jelas satu penghinaan.

Justeru, Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi menggesa tindakan tegas perlu diambil terhadap wanita itu dan penganjur.

“Nak buat komedi pun ada garis dan batasan. Melepasi garisan dengan menggunakan kandungan agama, ini betul-betul melampau.

“Mohon siasatan terhadap wanita dan Crackhouse dengan tindakan tegas harus diambil,” katanya.

Selain itu, Shahrol berpendapat, penutupan sementara Crackhouse bertepatan bagi membantu siasatan isu yang sedang hangat diperkatakan ini.

“Ada dua persoalan bermain di fikiran. Pertama, sebagai penganjur sudah tentu mempunyai hak untuk menghalang persembahan jika ia melanggar batas, terutama isu sensitif.

“Adakah perkara ini tidak dimaklumkan kepada pelawak yang akan membuat persembahan? Dan jika ia melanggar batas kenapa penganjur tidak terus naik ke pentas dan membatalkan persembahan?

“Kedua, adakah sebelum ini penganjur pernah melepaskan kandungan sebegini atau lebih sensitif kerana ada lagi beberapa video yang tular akan mengundang kemarahan masyarakat.

“Jadi, biarlah ditutup sementara bagi membantu siasatan. Ada masa kita bangkang dan ada masa perlu bertenang buat sementara,” dakwanya.

Tambah Shahrol, sebagai pelawak, dia tidak mahu kehadiran seseorang individu boleh menjejaskan nama pelawak lain.

Katanya, dia juga berharap pelawak lain terus memperjuangkan kandungan lebih cerdik.

“Bersama kita lahirkan pelawak komedi di Malaysia yang mempunyai pemikiran cerdas tanpa melanggar batas dan mempunyai kelas tersendiri,” katanya.

 

Amin mohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan penganjur ekoran perbuatan disifatkan keterlaluan.

 

Sementara itu, Pencetus Ummah (PU) Amin itu kesal dengan tindakan wanita itu.

Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim menyifatkan perbuatan sangat menyedihkan apabila wanita itu mendakwa seorang penghafal al-Quran.

“Sedih memang sedih. Tidak sangka, ada juga berperangai seperti ini, sanggup main-main dengan berbicara dan perbuatan.

“Buka baju di khalayak ramai dan ada pula bersorak. Apa hendak jadi dengan kita?

“Ini adalah negara Islam, kita bersemangat selepas menonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, perjuangan Islam dan sebagainya, tetapi hari ini, kita lihat ada orang main-mainkan agama, di mana kedudukan dan maruah kita?

“Kepada rakan, tolong jaga anak-anak kita,” katanya.

Ekoran itu, Amin mohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku dan penganjur ekoran perbuatan disifatkan keterlaluan.

Dalam video berdurasi 53 saat, seorang wanita berbaju kurung dan bertudung memperkenalkan diri dengan mendakwa sebagai wanita Muslim dan menghafaz 15 juzuk al-Quran.

Sebaik selesai memperkenalkan diri, wanita itu membuka tudung dan baju kurung dengan pakaian mencolok mata.

Tindakan wanita didakwa mengundang rasa tidak senang, apatah lagi, ketika umat Islam sedang meraikan Aidiladha. Video itu tular dan menerima reaksi pelbagai pihak.

Malah, wanita itu juga sudah ditahan reman selama tiga hari oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, di Jalan Gasing, Petaling Jaya, malam kelmarin.

Sementara itu, Crackhouse dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan wanita yang dianggap menghina agama Islam.

Crackhouse juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail dan melarang wanita berkenaan memasuki premis kelab komedi berkenaan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,593FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat