Angkat pejuang silam

- Advertisement -

Melihatkan kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mengetengahkan perjuangan wira tanah air terdahulu membuktikan genre dan penceritaan berlandaskan sejarah mampu menjadi fenomena serta mendapat tempat di hati penonton.

Rentetan itu, Karyawan Negeri Sembilan dengan kerjasama Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu dan dinaungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengambil inisiatif untuk menerbitkan Muzikal Moyang Salleh yang juga tokoh pejuang dari Negeri Sembilan.

Pementasan muzikal berlandaskan latar belakang sejarah legenda dan figura pemimpin Melayu dari daerah Jelebu, Negeri Sembilan itu turut mengisahkan perjuangan, pengorbanan, seni dan budaya masyarakat Melayu Negeri Sembilan.

Apa yang lebih menarik, Muzikal Moyang Salleh akan menampilkan keunikan tersendiri daripada segi seni persembahan dan teknikal selain menggunakan sepenuhnya dialek atau loghat Negeri Sembilan sebagai Bahasa pertuturan ketika pementasan.

Beberapa aksi menarik turut dijanjikan buat penonton, antaranya watak Moyang Salleh yang dibawa oleh Datuk Ahmad Tamimi Siregar akan memperagakan aksi terbang ketika berada di atas pentas.

Muzikal Moyang Salleh turut menampilkan lebih 16 buah lagu yang digubah khas buat pementasan kali ini dan pastinya membuatkan penonton terhibur dengan alunannya.

Penerbitnya, Siti Salbiah Zahari berkata, kombinasi tenaga pakar dalam menjayakan teater ini mampu menjadi penanda aras buat produksi lain.

“Gabungan kepakaran yang hebat dalam kalangan ahli produksi ini diharap dapat menghasilkan persembahan yang mantap dan menjadi penanda aras kepada pementasan lain yang menyusul.

“Cetusan dan pandangan daripada semua pihak kami jadikan panduan untuk menghasilkan persembahan yang mantap dan dikenang sepanjang zaman,” katanya.

Tambahnya, dia sangat menghargai jasa daripada pihak berkaitan dan menjanjikan pementasan muzikal berkenaan mampu menghadirkan impak positif.

“Kami sangat hargai kerjasama daripada rakan-rakan strategik, badan-badan bukan kerajaan, kerajaan negeri, kementerian-kementerian serta khususnya Datuk Undang Luak Jelebu yang sentiasa memayungi produksi ini.

“Tambahan pula, diberi peluang membuat persembahan di pentas bertaraf dunia bagi mengenali tokoh melalui Muzikal Moyang Salleh ini, saya yakin ia dapat memberi impak yang dihasratkan,” katanya.

Sementara itu, pengarahnya, Roslee Mansur yakin dengan kemampuan pelakon profesional yang dipilihnya menerusi sesi uji bakat sebelum ini.

“Saya menggunakan kesemua tenaga profesional. Untuk makluman, saya hanya tinggal petik jari saja dan apa yang saya nak semua dapat.

Saya bukan panggil pelakon amatur sebab kalau amatur belum tentu akan dapat sebagaimana pelakon yang kami ada sekarang ini,” katanya.

Tambah Roslee, dia percaya bahawa penonton ketika ini mahukan hiburan yang mampu mengembalikan nostalgia dan sejarah lampau.

“Pada pandangan saya penonton mahu melihat sesuatu yang mengembalikan nostalgia lalu. Kami berharap supaya ia menjadi tarikan untuk menonton teater ini,” katanya yang pernah mengarahkan lebih 50 teater.

Selain Ahmad Tamimi Siregar, pementasan turut menampilkan Khir Rahman sebagai Sultan Abdul Jalil Muazam Shah, Along Eyzendy sebagai Si Amat, Eliza Mustapa sebagai Moyang Timah, Hairi Safwan sebagai Dato Bendahara dan Mubarak Majid sebagai Datuk Temenggung.

Ia diperkemaskan dengan penampilan pelakon baharu seperti Melisa Kelvin sebagai Seri Banun dan Nen Tebabo sebagai Cik Kembang Dara.

Muzikal Moyang Salleh dipentaskan sempena bulan kemerdekaan kali ke-65 pada tahun ini dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bermula 26 hingga 31 Ogos di Panggung Sari, Istana Budaya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat