Titah Adendum : Pengakuan Anwar Boleh Cetuskan Konflik Perlembagaan

- Advertisement -

Cyberjaya – Pengakuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa Peguam Negara telah menerima arahan tambahan yang membenarkan bekas Perdana Menteri Najib Razak menjalani tahanan rumah mencetuskan kebimbangan mengenai potensi konflik undang-undang dan perlembagaan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mempersoalkan keupayaan Anwar untuk terus memimpin kerajaan, dengan menyifatkan penjelasan beliau sebagai lemah dan mengelirukan.

“Penjelasan Anwar ini bukan sahaja mencetuskan konflik undang-undang dan krisis perlembagaan, malah menghakis keabsahan pentadbiran yang dipimpinnya,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan.

Arahan tambahan itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebagai pelengkap kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman Najib. Arahan tersebut kekal menjadi spekulasi sehingga 6 Januari sehinggalah surat daripada Istana Pahang dikemukakan di mahkamah untuk mengesahkan kewujudannya.

Anwar mengakui bahawa Peguam Negara ketika itu, Terrirudin Mohd Salleh, menerima surat tersebut tetapi tidak menyerahkannya kepada beliau atau ahli Lembaga Pengampunan. Sebaliknya, arahan itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk tindakan lanjut.

Takiyuddin menegaskan bahawa kegagalan melaksanakan arahan tersebut semasa Sultan Abdullah masih bertakhta boleh dianggap sebagai perbuatan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Semasa titah itu dibuat, Yang di-Pertuan Agong ke-16 masih bertakhta dan titah baginda mesti dilaksanakan sepenuhnya kerana kegagalan berbuat demikian boleh diistilahkan sebagai perbuatan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan,”

Beliau juga mempersoalkan tindakan Peguam Negara yang dilihat tidak selari dengan peruntukan undang-undang dan kes-kes terdahulu yang menegaskan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam pemberian pengampunan.

Takiyuddin berkata isu ini turut meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi utama negara termasuk institusi Raja Berperlembagaan, Parlimen, dan Jabatan Peguam Negara.

“PAS percaya kesemua kelemahan, kecelaruan dan kecamuk undang-undang yang berlaku dan berpotensi berlaku di bawah kepimpinan Perdana Menteri berhubung isu ini, terdedahnya kerajaan kepada tindakan undang-undang oleh pihak-pihak yang berkepentingan, selain sikap sambil lewa dan berlepas tangan beliau dalam menanganinya sejak awal, menimbulkan persoalan besar terhadap kelayakannya untuk kekal sebagai ketua dan pemimpin kerajaan,”.

“Kegagalan Anwar ini juga akan mengheret negara dan masyarakat ke dalam konflik serta polemik tidak berkesudahan yang mahu dihindari dan menjadi asas serta justifikasi kepada pembentukan “kerajaan perpaduan” hari ini yang didakwa atas saranan Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lebih dua tahun lepas,” tambahnya lagi.

PAS menyeru kerajaan agar menangani isu ini secara telus bagi mengelakkan krisis undang-undang dan perlembagaan yang lebih serius.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat