PUTRAJAYA — Keputusan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, untuk mengarahkan video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dibuat semula mencerminkan komitmen kerajaan untuk memaparkan imej Malaysia yang lebih halus dan tepat.
Presiden Homestay Malaysia, Dato’ Sahariman Hamdan berkata pihaknya menyokong penuh tindakan tersebut sebagai langkah menekankan kepentingan pemasaran pelancongan yang berkesan dan memacu pertumbuhan ekonomi dan diplomasi budaya.
“Kesediaan Menteri Pelancongan menjawab semua persoalan dari pemain pemain industri adalah satu langkah yang bijak dan berani.
“Persatuan Homestay berharap ia dapat dilaksanakan dgn penuh teliti yg akan mencermin hidup dan budaya masyarakat Malaysia, berbilang kaum hidup dalam harmoni.
Bagi menyokong hasrat Kementerian Pelancongan, beliau berkata tahun 2025 adalah Tahun Melawat Homestay Malaysia dan pihaknya akan mengadakan sebanyak 33 acara di seluruh Malaysia bagi meraikan 30 tahun persatuan Homestay.
“Tahun Melawat Homestay Malaysia 2025 akan menjadi platform utama untuk mempromosikan homestay sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman unik dan autentik kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
“Dengan kerjasama antara Persatuan Pengusaha Homestay Malaysia, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Tourism Malaysia, tahun ini bertujuan untuk memperkukuhkan penglibatan komuniti dalam industri pelancongan melalui pelbagai program promosi dan latihan yang berterusan.
“Usaha ini sejajar dengan SDG 8 (Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi yang Mampan) dan SDG 11 (Komuniti dan Bandar yang Berdaya Tahan), dengan fokus pada memperkukuhkan penglibatan komuniti luar bandar dalam sektor pelancongan,” katanya.
Terdahulu, video montaj promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang dipertontonkan semasa majlis pelancaran logo, maskot, lagu tema, dan reka bentuk paparan corak pada kapal terbang sebelum ini bukanlah video yang akan digunakan bagi tujuan promosi.
Beliau berkata, ia hanyalah video pelancaran ringkas dan pendek berdurasi 41 saat.
Tiong King Sing turut mengingatkan semua pihak terutama warganet agar tidak mempolitikkan isu ini atau menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman, dan berkata pihaknya terbuka untuk menerima pandangan atau kritikan membina daripada pelbagai pihak.
Video promosi itu akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri sebaiknya, dan dijangka dapat disiarkan dalam tempoh seminggu.
Beliau berkata, pihak kementerian dan agensi yang berkaitan telah diminta menghasilkan video-video promosi, dan membahagikan promosi negeri berkenaan mengikut zon, memandangkan beliau tidak berpuas hati dengan hasil akhir video yang ditunjukkan kepadanya pada Khamis.