KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan menambah siling sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan ini adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan
menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.
“Anjakan baru bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih,serta meneraju ekonomi Islam.
“Dalam bidang menoktahkan kemiskinan tegar, insya-Allah kita akan berhasil menempa kejayaan yang bermakna sebelum akhir tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
RMK12 yang diluluskan di Parlimen pada 21 Oktober 2021 merangkumi tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan.
“KDNK yang menguncup sebanyak -5.5 peratus pada tahun 2020 telah mula pulih
dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus pada tahun 2021.
“Dalam tempoh dua tahun pertama RMK12, yakni dari tahun 2021 hingga 2022, negara telah mencatat pertumbuhan purata KDNK sebanyak 5.9 peratus setahun.
“Sebanyak 31 peratus daripada 175 sasaran ditetapkan telah dicapai, dan 59 peratusan adalah mengikut jadual,” katanya.
Menurut Anwar, RMK12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh 5 tahun.
“Bagi tempoh dua tahun yang pertama, prestasi perbelanjaan sebenar ialah 34 peratus. Pada tahun 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada tahun 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion.
“RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi Madani, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun.
Justeru jelas Menteri Kewangan, kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025.
Sementelahan kata beliau, Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 akan menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, hutang yang membengkak, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.