Isham kritik lawatan kerajaan Pulau Pinang ke Switzerland, beritahu teknologi kereta kabel tak banyak berubah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil mengkritik lawatan rasmi kerajaan Pulau Pinang ke Austria dan Switzerland bagi meneliti aspek teknikal serta pelaksanaan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang sedang dibina di negeri ini.

Isham memberitahu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, teknologi kereta kabel ini sudah lama dan tak banyak berubah, ia bukan rocket science.

“Ketua Menteri Pulau Pinang dan delegasi pergi Switzerland dan Austria untuk lihat cable car. Dia kata untuk kajian dan update projek.

“Kon Yeow, teknologi cable car ini sudah lama dan tak banyak berubah, ia bukan rocket science. Sebagai Ketua Menteri, kalau kamu ingin buat kajian secara dasar, kamu boleh minta laporan atau buat remote study sendiri.

“Kalau kamu ingin kajian terperinci kejuruteraan, boleh hantar pakar atau dua orang jurutera pergi sana, bukannya kamu pergi sana sendiri dan bawa geng kamu.

“Saya harap tiada orang politik yang kamu bawa pergi Switzerland kecuali kamu. Kalau syarikat Switzerland itu tanggung 100 peratus trip ini, mungkin ia boleh dimaafkan,” kata Isham dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Ujar Isham lagi, jika syarikat tempatan yang bayar dan mereka dapat kontrak dari kerajaan, ia sama macam guna dana awam.

“Kalau kamu guna dana awam, ini semua membazir duit rakyat.

“Di kala rakyat susah subsidi ditarik dan harga barang naik, kamu buat lawatan pergi Switzerland. Mantap,” kata Isham.

Semalam media melaporkan, kerajaan Pulau Pinang telah mengadakan lawatan rasmi ke Austria dan Switzerland bagi meneliti aspek teknikal serta pelaksanaan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang sedang dibina di negeri berkenaan

Delegasi rasmi yang diketuai oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, akan berada di kedua-dua negara tersebut bermula Selasa sehingga 16 Jun ini.

Kon Yeow berkata, lawatan kerja itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam merealisasikan inisiatif mobiliti lestari serta meningkatkan infrastruktur pelancongan di kawasan tanah tinggi berkenaan.

Menurutnya, lawatan tersebut dihoskan oleh dua syarikat utama dalam industri kereta kabel, iaitu Doppelmayr dan Hartasuma.

“Sepanjang lawatan, delegasi akan melawat kemudahan dan ibu pejabat beberapa syarikat terkemuka dalam industri tersebut, antaranya Doppelmayr Seilbahnen GmbH di Wolfurt, Austria; Fatzer AG di Romanshorn; Garaventa AG di Goldau; serta CWA Constructions SA di Olten, Switzerland,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, lawatan teknikal itu bertujuan memahami dengan lebih mendalam aspek kejuruteraan, operasi serta piawaian keselamatan yang digunakan dalam pembinaan sistem kereta kabel bertaraf antarabangsa.

“Selain itu, delegasi juga akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Bettmeralp dan syarikat Aletsch Bahnen AG di Raron, Switzerland bagi meninjau amalan terbaik dalam sektor pelancongan pergunungan dan pengangkutan lestari.

“Bettmeralp merupakan sebuah perkampungan pelancongan bebas kenderaan yang hanya boleh diakses menggunakan kereta kabel dan dianggap sebagai model pembangunan pelancongan mampan yang berjaya di Eropah,” ujarnya.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang komited untuk memastikan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera dilaksanakan dengan penekanan tinggi terhadap aspek keselamatan, kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan.

“Misi rasmi ini merupakan langkah penting dalam memastikan projek ini memenuhi piawaian antarabangsa dan dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta industri pelancongan negeri,” katanya.

Sebelum ini, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengumumkan bahawa pusat peranginan Bukit Bendera bakal menikmati perkhidmatan kereta kabel yang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2026.

Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bernilai RM245 juta itu melibatkan laluan sepanjang 2.73 kilometer dengan tiga buah stesen iaitu Stesen Taman, Gelung Belokan dan Stesen Bukit.

Jajaran kereta kabel tersebut akan bermula dari Stesen Taman Ekonomi sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera.

Ia akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk dengan tempoh perjalanan kurang daripada 10 minit.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat