Rap ‘jalanan’ Abubakarxli

- Advertisement -

KEUNIKAN lagu dan persembahan Too Phat yang ditonton di kaca televisyen ketika remaja, membuka minat bakat baharu dikenali Abubakarxli terhadap muzik rap.

Abubakarxli, 24, atau nama sebenarnya Abu Bakar Ali berkata, sejak itu dia mula mencari-cari medium untuk menonton persembahan mana-mana kumpulan yang diminatinya.

“Ketika itu, penggunaan Internet belum meluas di negara kita. Apabila adanya WiFi saya mula rajin menonton YouTube untuk melihat persembahan rappers dari dalam dan luar negara.

“Rappers Malaysia dahulu banyak bergerak secara ‘underground’. Saya seterusnya mendekati mereka dan belajar lebih mendalam mengenai genre rap ini.

“Mereka juga tak kedekut untuk berkongsi ilmu dengan saya. Bermula dari situlah, saya cuba-cuba belajar hasilkan lagu sendiri,” katanya mengenang kembali kisah lalu ketika berusia 17 tahun.

Anak muda yang disebut-sebut sebagai ‘Most Valuable Player’ penyanyi rap era masa kini itu, baharu sahaja melancarkan album E.P EXACXLI terbitan Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia.

Ia memuatkan enam lagu yang amat menarik iaitu Balik Kampung; Terbang (featuring Airliftz & Zet Legacy); Ada Orang (featuring Sxph & Pele.L); Rehat, Jangan Marah (featuring Touche & NOTAIZAT) dan Selesai (featuring Danye).

Abubakarxli mengakui konsep lagu dan nyanyiannya lebih terarah kepada street (jalanan) dan rakyat.

“Ia lebih mewakili golongan usia saya. Lagu-lagu ditulis ini lebih kepada kisah jalanan dan berkisarkan kehidupan.

“Untuk itu, pemilihan katanya pun lebih kepada bahasa harian yang sering kita gunakan. Contohnya, lagu berjudul NiNiNi yang dibuat secara spontan dengan SonaOne.

“Masa dia nak salin fail, dia kata bagi aku ‘copy’ ni, ni, ni…terus saya minta dia buka mikrofon dan rekod. Maka terhasillah lagu itu,” katanya.

Kebolehannya menyanyi dengan baik ternyata membezakan Abubakarxli dengan rappers lain.

Bagaimanapun dia tetap merendah diri dan mengakui masih dalam proses belajar.

 

ABUBAKARXLI hanya akan menghasilkan album apabila sudah benar-benar bersedia. FOTO: Eizairi Shamsudin
ABUBAKARXLI hanya akan menghasilkan album apabila sudah benar-benar bersedia. FOTO: Eizairi Shamsudin

 

“Saya bukanlah pandai sangat menyanyi, tapi perlahan-lahan saya mencuba. Melodi yang saya boleh bawa, saya akan buat.

“Tapi sekiranya tidak, saya takkan buat dan bawa artis lain untuk menyanyikannya. Untuk apa saya nak paksa diri. Saya juga suka dengan konsep penggunaan ‘auto tune’ kerana ia adalah satu seni.

“Contohnya di Amerika Syarikat sendiri, ada orang boleh menyanyi tetapi sengaja meletakkan ‘auto tune’ pada suara sebagai satu kerja seni,” katanya.

Menurutnya, ia bukanlah kerja mudah dan bukan sekadar letak suka-suka seperti sangkaan ramai pihak.

“Ia kena dilakukan dengan elok. Saya pun memang tak anggap diri sebagai penyanyi, tetapi lebih kepada penyanyi rap.

“Dahulu, saya memang konsisten rap. Tapi sekarang, saya nampak kita kena ikut zaman. Mungkin sekarang orang nak dengar rap yang bermelodi.

“Kita tak boleh nak terikat pada satu bentuk sahaja. Saya ikut apa yang orang sekarang nak dengar. Alhamdulillah, perlahan-lahan saya buat dan dapat ‘feedback’ yang bagus dari otai-otai rappers,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik ini sudah menghasilkan lebih 100 lagu setakat ini.

Bagaimanapun, sejujurnya dia mengakui belum berani untuk menghasilkan album penuh.

“Pada saya, single lain, EP lain dan album pula lain. Justeru, saya belum sedia untuk hasilkan album. Setakat ini sudah 20 lagu yang dikeluarkan.

“Untuk keluarkan album agak terlalu berat kerana rasanya saya harus berada lebih lama dalam industri dan untuk itu saya akan ‘fight’ demi karier ini.

“Apapun, saya nak rancang betul-betul dan jadikan album ini sebagai sebuah penghasilan yang ‘evergreen’. Jadi, orang akan pandang ia sebagai satu ukuran sebab itulah saya mahu lebih serius jika buat album,” katanya.

The Vocket

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat