Kisah sebenar jadi lagu

- Advertisement -

INDUSTRI hiburan sememangnya semakin rancak dengan kemunculan ramai pendatang baharu seni suara. Tidak ketinggalan, Isma Sane yang berharap dapat menyumbangkan karya terbaik dalam pasaran muzik Malaysia.

Meski namanya mungkin belum terlalu mekar, dia antara penyanyi yang tidak pernah berputus asa untuk menjual bakatnya. Maklum sahaja, sekarang ramai artis baharu mendominasi pasaran muzik seiring populariti luar biasa.

Bagaimanapun, Isma tidak gentar untuk terus konsisten menghasilkan lagu baharu. Ia termasuk lagu ketiganya berjudul Sepi yang mempunyai bait lirik sangat mendalam serta berdasarkan pengalaman sebenar.

Berkongsi karya berjudul Sepi itu, Isma mendedahkan lagu berkenaan sebenarnya sudah lama dihasilkan, namun sekarang baharu dapat dilancarkannya. Yang pasti, dia sangat bersyukur proses rakamannya berjalan dengan lancar.

“Secara keseluruhannya memaparkan kisah sebenar yang saya lalui sendiri, apabila ditinggalkan seseorang amat melukakan. Lebih sedih lagi, dia memilih sahabat karib saya sendiri sebagai pengganti dan kemudian saya memilih untuk menyepi.

“Lagu Sepi ini sebenarnya saya sudah cipta sejak dua tahun yang lalu. Proses rakaman vokalnya memakan masa dua hari juga,” katanya.

Sebagai artis yang sangat mementingkan kualiti, Isma berharap mesej ingin disampaikan berjaya menyentuh hati pendengar. Baginya, dia sendiri sudah menyalurkan sepenuh jiwa baik daripada segi lirik mahupun penghayatan dalam lagu itu.

“Lirik lagu Sepi pun saya tulis sendiri dan berusaha menggarap bait-bait itu sebaiknya. Demikian juga susunan muziknya yang saya harap mampu dihayati serta didalami sesiapa juga selepas mendengarnya,” katanya.

Untuk melengkapkan lagi aura lagu itu sendiri, Isma tidak ketinggalan tampil dengan video muzik yang unik. Baginya, keunikan itu perlu terutama daripada segi plot cerita dalam video terbabit.

Paling menarik, dia juga menggunakan khidmat personaliti media sosial terkenal, Hawa Johanis bagi menghidupkan video muzik Sepi. Dia berharap jalan ceritanya juga akan sampai di mata penonton.

“Secara kasarnya, susunan plot cerita dalam video muzik Sepi dilakukan secara sinematik dan mengisahkan mengenai hubungan terlarang antara dua alam. Proses penggambaran video muziknya dilakukan di Hulu Langat dan memakan masa hanya satu hari.

“Menariknya saya digandingkan bersama Hawa Johanis, seorang ‘influencer’ terkenal dalam video muzik Sepi,” katanya.

Hasil karya terbaharu Isma ini adalah gabungan kerjasama antara BeeGood Music dan Universal Music Malaysia. Kehadirannya diharapkan dapat memeriahkan lagi persada seni muzik tanah air.

Besar harapan pendatang baharu ini serta pasukan produksi untuk melihat hasil karya ini diterima di seluruh Malaysia. Bahkan, dia mahu lagunya diterima baik peminat di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

Video muzik Sepi sudah disiarkan secara rasmi pada minggu lalu di saluran YouTube BeeGood Music. Selain itu, lagu Sepi juga sudah berada di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, Joox dan YouTube Music sejak 8 Januari lalu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat