KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil maklum bahawa satu kandungan di media sosial Facebook dan Twitter telah tular berkaitan rakaman video sekumpulan pelajar sedang membuli rakannya,” tegas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Tegas beliau, pihak MARA memandang serius berkaitan isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap video yang tular.
“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media susulan penularan kandungan video membabitkan pelajar sebuah sekolah berasrama di Perak.
Ini kalau anak orang mati lepastu cakap takde niat membunuh?!! Lepastu bebas tali gantung? lepastu sampai bila nak habis gejala buli ni?!!! Sakitnya hati aku!!!!
Kredit: Faez hamzah pic.twitter.com/iTzp7qOtW4
— ηυяιкα (@Ekax_) December 9, 2021
Menurut Mahdzir, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan MARA, jika video yang tular adalah benar.
Katanya lagi MARA juga akan bertindak tegas dan tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.
“MARA tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami pada bila-bila masa,” ujar Mahdzir.
Dalam pada itu polis Perak mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian kes buli membabitkan pelajar lelaki yang berlaku di sebuah sekolah asrama di Kuala Kangsar.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya sudah mengambil maklum perkara itu dan sedang menjalankan siasatan terperinci.
“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob untuk menyiasat bila kejadian buli ini berlaku kerana kadang-kadang kejadian (berlaku) lama, tetapi ditularkan semula.
“Video itu memang nampak kejadian buli dengan menumbuk perut mangsa, jadi polis akan menjalankan siasatan,” katanya memetik laporan media di Kampar, Perak.
Sebelum ini tular satu klip video di media sosial menunjukkan sekumpulan pelajar mengepung dan menumbuk perut mangsa sambil tertawa sesama mereka.
Mior Faridalathrash berkata, berdasarkan ruangan komen warganet kejadian itu dikatakan berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kangsar.