Semua pihak perlu elak timbulkan ketegangan di Laut Cina Selatan – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia berpendirian bahawa Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuannya bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, Malaysia berpegang teguh bahawa kedaulatan dan kepentingan negara menjadi asas utama berhubung pendirian dan tindakan yang akan diambil.

“Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan keutuhan wilayah, hak-hak kedaulatan dan kepentingan negara.

“Semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif. Sebarang pertikaian mengenai Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berlandaskan ‘universally recognised principles of international law’, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Undang-Undang Laut 1982,” katanya ketika sidang media bersama di Istana Bogor.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, beliau dan Joko Widodo telah berbincang dan mengambil maklum bahawa terdapat kemajuan dalam rundingan sempadan maritim di antara kedua-dua negara.

“Dalam hal ini, saya memberi jaminan Malaysia akan terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim tersebut. Kami bersepakat agar usaha dan perbincangan selanjutnya dapat diteruskan,” jelas Ismail Sabri.

Menyentuh isu serantau dan antarabangsa, beliau dan Presiden Indonesia sependapat bahawa isu ini perlu ditangani dengan baik.

Dalam hal ini, katanya, Malaysia menyokong penuh Konsensus Lima Perkara yang telah dicapai dalam Mesyuarat Pemimpin ASEAN dan menyeru pelaksanaannya dapat dilakukan dengan segera.

“Malaysia dan Indonesia juga sepakat berkaitan isu penyertaan Myanmar di mesyuarat mesyuarat ASEAN buat masa ini.

“Berkaitan isu Rohingya, Malaysia yang secara langsung terkesan kerana terpaksa menerima jumlah pelarian Rohingya yang tinggi, akan terus mendokong usaha-usaha ke arah proses repatriasi warga Rohingya ke tempat asal mereka di Wilayah Rakhine.

“Saya berharap negara-negara terbabit akan dapat membantu Malaysia menyelesaikan masalah pelarian ini,” ujarnya.

Selain itu, Ismail Sabri juga menjelaskan ebagai sahabat serumpun, Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan dalam pelbagai perkara termasuk adat, tradisi dan warisan kebudayaan.

Katanya, pada tahun 2020, kedua-dua negara telah membuat penyenaraian bersama bagi Pantun secara multi-national nomination ke UNESCO.

“Bagi meneruskan usaha baik in, yang boleh mengeratkan lagi hubungan diantara kedua-dua negara, Malaysia berharap agar Indonesia bersetuju untuk membuat penyenaraian bersama bagi beberapa lagi item warisan kebudayaan yang dikongsi bersama ke UNESCO pada masa hadapan,” kata Perdana Menteri.

Perkembangan lain, beliau memberitahu, hari ini dua Memorandum Persefahaman telah dimeterai di antara Malaysia dan Indonesia.

“Yang pertama, Memorandum Persefahaman mengenai “Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan” dan yang kedua, Memorandum Persefahaman mengenai “Kerjasama dan Bantuan Bersama Dalam Perkara Kastam”.

“Pemeteraian kedua-dua Memorandum Persefahaman ini boleh sebagai satu lagi tanda kepada tahap hubungan baik yang telah lama terjalin di antara Malaysia dan Indonesia.

“Sebanyak lima MOU dan Perjanjian juga akan dimeterai oleh sektor swasta kedua-dua negara. Pelaburan yang memasuki Indonesia melalui MoU dan Perjanjian ini bernilai USD3.1 bilion,” kata beliau.

Perdana Menteri sangat menghargai sambutan dan layanan baik Joko Widodo kepadanya dan delegasi Malaysia sepanjang berada di Indonesia malah berharap hubungan istimewa ini akan kekal utuh dan berkembang maju pada masa depan.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat