Kadir Jasin, Globalisasi dan Nasionalisme Bahasa

- Advertisement -

Editorial

Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin menulis “Let’s Speak And Be Understood” mempertikai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan di pentas antarabangsa sebagai tidak berkesan, hangat-hangat tahi ayam dan cubaan menutup kelemahan berbahasa Inggeris.

Menurut beliau, ” Let’s face it. Unless you’re the Presidents of Russia, China or the United States, the delegates are not likely to be in too much of a hurry to put on their earpieces to listen to the translation of your speech. Of course speaking in the mother tongue is unavoidable if your English is inadequate or plain bad.”

(Hadapilah kenyataan! Melainkan anda adalah Presiden Rusia, China atau Amerika Syarikat, para perwakilan tidak akan begitu berminat untuk menggunakan fon telinga bagi mendengar terjemahan ucapan anda. Sudah tentu bercakap dalam bahasa ibunda tidak dapat dielakkan jika bahasa Inggeris anda tidak mencukupi atau jelas buruk).

Oleh kerana Kadir Jasin telah lama meninggalkan bidang kewartawanan negara beliau mungkin tidak sedar bahawa zaman telah berubah, dan di sebalik gegak gempita globalisasi sejak 1990-an, nasionalisme kini turut muncul semula dalam kebanyakan negara di dunia.

Kita ambil contoh dalam Kesatuan Eropah sendiri. Selain mengangkat bahasa Inggeris dan Perancis sebagai bahasa utama, mereka menerima kesemua 24 bahasa kebangsaan negara-negara dalam EU sebagai bahasa komunikasi.

Baru-baru ini Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, bercakap dalam bahasa kebangsaannya di Perhimpunan Kesatuan Eropah baru-baru ini bagi menerangkan keadaan negara beliau yang berhadapan ancaman Russia.

Perbahasan dalam Parlimen Kesatuan Eropah juga menggunakan 24 bahasa dengan kebanyakan Ahli Parlimen menggunakan bahasa kebangsaan sendiri berserta penterjemah bahasa Inggeris bagi mencerminkan kepelbagaian bahasa dan budaya dalam kesatuan Eropah.

ASIA
Sidang Negara-negara Asean turut menyaksikan penggunaan bahasa ibunda oleh Kemboja, Indonesia, Thailand dan Malaysia. Hanya ketua negara Filipina, Singapura dan Brunei menggunakan Bahasa Inggeris. Ketua-ketua negara lain seperti bangga menggunakan bahasa Ibunda masing-masing.

Para pemimpin Asean ini turut menggunakan bahasa Ibunda masing-masing ketika berucap di hadaoan Presiden AS, Joe Biden dalam Sidang Kemuncak AS-Asean di Washington baru-baru ini.

Dalam Persidangan Nikkei, Jepun yang turut dihadiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Jepun sendiri mengguna bahasa Jepun ketika menyampaikan ucapan. Ketua-ketua negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Realitinya ia bukan soal inferiority complex bagi mereka ketika berucap atau bertutur menggunakan bahasa ibunda, namun ia menunjukkan kebangkitan nasionalisme yang cuba berada setara dengan globalisasi.

Dengan kata lain, ketika kita tidak mahu ketinggalan dalam mengejar kemajuan era globalisasi, ruang-ruang nasionalisme harus terus dibenarkan berkembang sebagai satu tanda jati diri negara bangsa.

Malahan Kadir Jasin sendiri menyatakan beliau menyokong pengukuhan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Jika demikian Kadir seharusnya menyokong tindakan Perdana Menteri berucap dalam bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Malangnya, kerana perbezaan politik Kadir memilih untuk mengkritik berbanding menyokong.

Perdana Menteri tidak menguasai bahasa Inggeris?

Adalah tidak betul tanggapan keputusan berucap dalam bahasa Melayu bertujuan menutup kelemahan Perdana Menteri tidak boleh berbahasa Inggeris. Mungkin Ismail Sabri bukan orator hebat dalam bahasa Inggeris, namun mendakwa beliau tidak menguasai bahasa Inggeris adalah tidak tepat.

Ismail Sabri adalah lulusan undang-undang Universiti Malaya yang kefasihan berbahasa Inggeris menjadi keutamaan fakulti tersebut. Sepanjang menjadi Menteri termasuk Menteri Pertahanan, Ismail Sabri sentiasa menggunakan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa.

Malahan pengenalan mengutamakan bahasa Melayu dilaksanakan oleh Perdana Menteri hanya dalam ucapan-ucapan rasmi. Sebaliknya dalam dialog tertutup dan perjumpaan tertinggi Perdana Menteri masih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perundingan.

Ucapan Perdana Menteri dalam bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak menjejaskan apa-apa kepentingan negara kerana banyak negara lain turut mengamalkan langkah serupa. Teks dan alih bahasa ke bahasa Inggeris atau bahasa ibunda negara terbabit sentiasa disediakan bagi ucapan rasmi Perdana Menteri. Ini juga amalan negara Kesatuan Eropah dan PBB.

Belum kita dengar Perdana Menteri mengarahkan hubungan diplomatik, perbincangan pelaburan dan perniagaan dilakukan dalam bahasa Melayu.

Memandang rendah bahasa Melayu

Justeru, Kadir dan semua rakyat Malaysia seharusnya berbangga bahawa bahasa Melayu kini berkumandang di mana sahaja negara yang dilawati Perdana Menteri. Malangnya, Kadir dan sebahagian rakyat negara ini kerana kecenderungan politik berlainan, memilih untuk memperlekehkan usaha ini dengan mengaitkan soal kefasihan bahasa Inggeris.

Berucap dalam bahasa Melayu di pentas rasmi antarabangsa ada soal yang berlainan dengan kepentingan menguasai bahasa Inggeris. Tidak ada sesiapa pun yang berkata penguasaan bahasa Inggeris tidak penting atau tidak perlu.

Namun menjadi Perdana Menteri adalah soal memimpin negara bangsa menjadi dihormati, disegani dan menunjukkan keistimewaan negaranya. Ucapan ketua negara bukan pertandingan orator bahasa Inggeris atau perebutan pelaburan asing. Ia lebih kepada menyatakan pendirian dan mewujudkan diplomasi antarabangsa.

Maka bercakap dalam bahasa Melayu adalah sesuatu yang boleh menarik perhatian para diplomat asing dan media berbanding berbahasa Inggeris. Seperti kata Kadir Jasin, jika anda bukan Presiden negara besar, maka ucapan anda bukanlah begitu penting kepada diplomat dan media massa antarabangsa. Bukankah bercakap dalam bahasa asing kepada mereka akan menarik perhatian dan tumpuan?

Sama ada disedari atau tidak, negara besar China telah mewudkan Kursi Pengajian Bahasa Melayu di 16 universiti negara berkenaan yang berperanan sebagai jendela ilmu dalam usaha mempelajari bahasa Melayu.

Rakyat Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam bahkan Jepun berbangga dengan ucapan para pemimpin mereka dalam bahasa kebangsaan di atas pentas dunia. Namun Kadir Jasin seolah-olah mahu menghasut rakyat supaya benci dan perlekeh Perdana Menteri yang martabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Namun penulis bersetuju dengan Kadir Jasin bahawa kerajaan sepatutnya lebih serius menjadikan bahasa Melayu. Ketika Perdana Menteri mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, kerajaan Sarawak seolah-olah bertindak sebaliknya dengan membenarkan bahasa Inggeris digunakan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Walaupun Kadir menyedari tindakan kerajaan Sarawak adalah satu langkah ke belakang dalam perkembangan bahasa Melayu, namun beliau memilih untuk mengkritik Ismail berbanding kerajaan negeri Sarawak. Justeru kritikan Kadir ini lebih bersifat politik berbanding kepentingan negara dan bahasa.

Adalah tugas kita mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan rakyat Malaysia merentasi kaum dan bahasa ilmu dan perhubungan di rantau Asia.

Bangsa Melayu boleh hilang jati diri sekiranya bahasanya tidak diperkasakan dan gagal diangkat menjadi bahasa negara. Ini bahasa adalah salah satu ciri bangsa.

Cintailah bahasa kita!

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat