Rasuah dan ketirisan Malaysia RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerugian kewangan Malaysia akibat rasuah dan ketirisan dianggarkan berjumlah RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research, Dr Rais Hussin berkata, membuat anggaran kesan sebenar rasuah kepada masyarakat adalah tugas yang berat dan sukar kerana kesannya yang mendalam, luas dan sistematik ke tas pelbagai sudut sosioekonomi sesebaih negara.

Kata beliau, walau bagaimanapun anggaran konservatif sudah dapat memberi gambaran yang membuka mata dan menggegarkan jiwa.

“Jumlah angka kerugian kewangan masih boleh menjadi jauh lebih tinggi disebabkan kesan pengganda pelaburan, yang merujuk kepada impak stimulatif pelaburan awam atau swasta. Perbelanjaan kerajaan yang produktif mewujudkan aktiviti ekonomi yang produktif merentasi industri, meningkatkan pendapatan pekerja dalam pelbagai sektor ekonomi dan kesan gandaan merentasi sektor-sektor ekonomi.

“Walau bagaimanapun, penyelewengan dana awam melalui ketirisan dan rasuah tidak akan menyebabkan penyebaran rangsangan ekonomi yang meluas ini, sekali gus menyebabkan pertambahan kos melepas kepada rakyat.

“Pengganda pelaburan biasanya lebih besar daripada 1. Namun, kekal konsisten mematuhi garis anggaran yang sangat konservatif, setiap RM1 daripada anggaran kerugian melebihi RM2.2 trilion – RM2.3 trilion mungkin mengakibatkan sekurang-kurangnya RM1 tambahan kos melepas menjadikan jumlah keseluruhan yang luar biasa iaitu RM4.5 trilion sepanjang tempoh 26 tahun.

“Namun begitu, kita perlu ingat bahawa semua ini hanyalah anggaran yang amat konservatif,” kata Rais dalam kenyataan, hari ini.

Tambahan lagi, menurut beliau banyak kesan atau kos rasuah dan ketirisan tidak langsung yang tidak dapat diukur dan tidak dapat dikesan, kerana rasuah telah memusnahkan pelbagai hubungan utama yang diperlukan untuk pembangunan yang aman dan harmoni – ia menjejaskan ikatan yang menyatukan rakyat.

“Ia sering menjadi punca politik yang tidak berfungsi dengan sempurna dan perpecahan sosial.

“Rasuah juga menjadikan negara terdedah dengan neokolonisasi dan eksploitasi dan berpotensi besar kehilangan kelebihan daya saing di peringkat global. Ini mengurangkan keyakinan pelaburan tempatan dan asing, terutamanya yang boleh mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan aktiviti ekonomi, manakala pelaburan asing yang bersifat eksploitasi akan kekal berkembang dengan rasuah di tahap yang tinggi.

“Menerusi perubahan mundur dalam keutamaan perbelanjaan, rasuah menjejaskan keupayaan negara untuk menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

“Pendek kata, rasuah adalah akar umbi kepada kegagalan bersama sebagai sebuah masyarakat,” jelasnya.

Menurut Rais lagi, inilah sebabnya, di sebalik kekayaan negara melalui sumber minyak, gas, minyak sawit, getah, kayu balak, pertanian dan pelbagai lagi, Malaysia tidak dapat bersaing dengan negara-negara lain di rantau ini yang kurang dengan sumber aslinya.

“Tidak lupa juga Malaysia yang jauh dilindungi daripada bencana alam berbanding negara-negara lain. Pembentukan Malaysia sudah dilandasan kejayaan. Hanya manusia, iaitu kepimpinan boleh memberi kesan mendalam kepada “DNA” semulajadi Malaysia untuk berjaya.

“Kekayaan sumber adalah sesuatu yang nampaknya sentiasa memberi ilusi kepada pemimpin yang kurang bijak bahawa mereka seolah-olah mentadbir negara dengan baik. Negara masih teguh berdiri walaupun dengan tadbir urus yang teruk dan pembaziran sumber yang berterusan. Namun, adakah Malaysia masih dapat terus mengalir keluar darahnya tanpa kesan? soalnya.

Tegas Rais, Malaysia boleh menjadi makmur tanpa sebarang hutang dan/atau pinjaman jika kita mengambil kira hutang dan liabiliti negara yang diisytiharkan berjumlah RM1.5 trilion (hampir 80 peratus daripada KDNK menjelang akhir tahun 2022) dan anggaran kerugian secara konservatif akibat rasuah dan ketirisan sepanjang 26 tahun berjumlah RM4.5 trilion.

“Kita mesti ingat bahawa walaupun sumber asli seperti minyak dan gas adalah terhad, perbelanjaan kerajaan yang diperlukan kerajaan untuk pertumbuhan negara akan sentiasa meningkat. Ini telah memaksa beberapa negara di Timur Tengah, sebagai contoh, untuk mempertimbangkan pengurangan pergantungan mereka kepada minyak dan gas dengan mempelbagaikan ekonomi mereka melalui transformasi digital yang berkesan.

“Marilah kita berfikir sejenak apa yang boleh dilakukan untuk rakyat dan negara dengan RM4.5 trilion (meskipun anggaran yang konservatif) yang telah lenyap ini? katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat