Syarikat Peminjam Wang & Kedai Pajak Setuju Moratorium 3 Bulan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemberi Pinjaman Wang (Kredit Komuniti) dan Persatuan Pajak Gadai bersetuju memberi moratorium selama tiga bulan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata Persatuan Pemberi Pinjaman Wang juga akan mengecualikan caj kelewatan kepada golongan peminjam itu ketika perintah itu dilaksanakan.

Katanya, perkara itu diputuskan hasil perbincangan antara kementeriannya dengan kedua-dua persatuan itu, selepas mereka disarankan oleh kerajaan untuk memberi moratorium kepada syarikat PKS.

“Syarikat Kredit Komuniti diingatkan supaya tidak mengenakan caj faedah melebihi yang ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] iaitu sebanyak 12 peratus bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus bagi pinjaman tidak bercagar kepada peminjam sepanjang tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Zuraida memaklumkan, premis syarikat Kredit Komuniti dan Pemegang Pajak Gadai turut dibenarkan beroperasi dua hari seminggu, iaitu dari jam 9 pagi hingga 2 petang saja sepanjang PKP.

Katanya, ia berikutan pihaknya menerima banyak pertanyaan orang awam mengenai perkhidmatan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, hari operasi premis itu akan ditentukan kemudian kerana ia masih dalam perbincangan dengan pihak persatuan.

“Syarikat perlu mematuhi arahan dan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Ini termasuk mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, memakai topeng muka tiga lapis dan menyediakan cecair pencuci tangan kepada orang awam yang berurusan, selain melakukan proses nyah kuman secara kerap di dalam premis,” katanya.

Katanya, orang awam dan syarikat PKS yang terbabit boleh mendapatkan maklumat lanjut menyenai perkara itu dan perkhidmatan lain melalui hotline Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di talian 03 8891 3975.

Sumber: Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat