Sheila utuh dengan untaian klasik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menghampiri dekad keempat perjalanan karier bintang tersohor ini, untaian indah seperti Sinaran, Antara Anyir dan Jakarta, Dia serta Warna membawa Datuk Sheila Majid ke puncak kegemilangan dan pesona yang tidak pernah padam.

Tidak hairanlah, setiap kali penyanyi yang pernah digelar ‘Little Miss Dynamite’ pada awal kemunculannya pada 1984 mementaskan konsert, himpunan lagu itulah yang dimahukan peminat untuk dipersembahkan, biarpun melewati kembara seninya, Sheila banyak menghasilkan album dan single yang tidak kurang hebat.

Kembali mengubat rindu, Sheila bakal tampil dengan Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 pada 18 Mac tahun depan, acara yang cukup dinanti-nantikan peminat fanatik Ratu Jazz ini.

Tambah manis, lokasi dipilih iaitu Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, menjadi premis konsert pertamanya, iaitu Konsert Warna pada 1988.

“Ketika itu, saya tidak mempunyai banyak lagu yang hendak dibawa.

“Seterusnya, Konsert Legenda saya anjurkan di Stadium Negara kerana lebih besar dan boleh memuatkan lebih ramai peminat,” katanya yang kali terakhir mementaskan konsert di Malaysia pada 2017.

Justeru, selepas lima tahun tidak muncul di pentas, Sheila menjanjikan persembahan berbeza apabila Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 akan membabitkan 23 pemuzik dengan susunan lagu segar.

Sheila berkata, 23 pemuzik itu membabitkan 13 pemain alat muzik hon atau tiupan, tujuh pemuzik band dan tiga penyanyi latar yang dipimpin pengarah muzik, Mac Chew.

“Konsert ini dinamakan sebagai Big Band disebabkan konsep dan stail muzik yang hendak dipentaskan.

“Band yang besar selalunya disertai sekurang-kurangnya 10 pemuzik. Konsert saya kelak akan membabitkan 23 pemuzik.

“Konsep ini berbeza dengan orkestra yang membabitkan banyak pemain muzik ‘string’. Lagu yang akan didendangkan disesuaikan dengan konsep ‘big band’.

“Sebenarnya, ini kali pertama saya menggunakan konsep ini. Jadi, peminat boleh bayangkan susunan lagu yang berbeza,” katanya.

Sheila berkata, konsep ‘big band’ dipilih bagi menghargai tunjang utama konsert iaitu pemuzik.

“Konsep ini sebenarnya suatu pendidikan buat pendengar. Saya selalu fikir, sebagai individu bergiat dalam industri muzik, saya perlu mendidik pendengar.

“Pemuzik adalah pekerjaan profesional. Bakat dan kemahiran itu tidak semuanya ada.

“Jadi, kita tak boleh memandang rendah kepada mereka. Bagi melakukan persembahan baik, anda perlu ada pasukan.

“Berikanlah pemuzik yang berada di belakang ini suatu penghargaan kerana mereka layak. Disebabkan itu, saya kata, kita perlu didik orang ramai bahawa pemuzik penting untuk sesebuah persembahan,” katanya yang dijangka tampil dua jam 30 minit pada konsert itu.

 

 Sheila menjanjikan persembahan berbeza apabila Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 akan membabitkan 23 pemuzik dengan susunan lagu segar. - NSTP/Rohanis Shukri
Sheila menjanjikan persembahan berbeza apabila Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 akan membabitkan 23 pemuzik dengan susunan lagu segar. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Bagi memastikan kelancaran konsert, Sheila, 57, sudah memulakan latihan dan persediaan lain termasuk bersenam.

“Saya sudah lama bersenam secara konsisten walaupun ketika pandemik COVID-19.

“Bagi saya, sebagai penghibur, saya perlu sentiasa bersedia. Jadi, saya ambil berat mengenai kesihatan kerana menjaga stamina adalah sebahagian daripada kerja saya.

“Hendak menyanyi, anda perlukan stamina dan kekal bertenaga. Saya belajar untuk konsisten, apatah lagi ini adalah periuk nasi saya.

“Untuk berada dalam industri ini, awak kena berdisiplin.

“Kalau saya tidak jaga stamina, selamat tinggallah jawabnya. Takkan menyanyi tiga lagu sudah tercungap-cungap.

“Saya juga fikir orang susah payah cari duit hendak beli tiket melihat persembahan. Jadi, takkan mahu buat ala kadar.

“Jadi, persediaan dan latihan sangat penting agar peminat berpuas hati dengan persembahan kita,” katanya.

Biarpun senarai lagu yang bakal dipersembah belum diputuskan, Sheila berkata, peminat pasti akan mendengar lagu malar segar popularnya seperti Sinaran dan Antara Anyir dan Jakarta.

Bagi Sheila, lagu itulah yang membuatkan dirinya terus relevan dalam industri seni biarpun sudah lebih tiga dekad menjadi penghibur.

“Konsert ini akan mengubat kerinduan saya kepada peminat selain mereka kembali berhibur dengan untaian lagu yang bakal didendangkan.

“Seperti anda tahu, peminat adalah kekuatan saya sepanjang karier ini. Konsert ini akan menjadi persembahan yang penuh memori buat kita semua,” katanya.

Kali terakhir Sheila melancarkan album studio berjudul Boneka pada 2017. Album berkenaan dirakam selepas 13 tahun album Cinta Kita meledak di pasaran pada 2004.

Biarpun tidak memiliki album sejak enam tahun lalu, Sheila mengubat rindu peminat melalui single Ketika Cinta Ingin Dimengerti, yang dilancarkan tahun lalu.

Sheila kemudian meminjamkan suaranya dalam single Wira Hatiku yang menjadi runut bunyi filem Juang.

 

Sheila bersama tetamu dan pasukan pemuzik untuk Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023. - NSTP/Rohanis Shukri
Sheila bersama tetamu dan pasukan pemuzik untuk Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Sementara itu, di sebalik musibah penularan pandemik COVID-19, dua tahun lalu, terselit hikmah buat Sheila yang bakal dikenang bintang sampai bila-bila.

Ibarat doa yang dimakbulkan Tuhan, penyanyi Ku Mohon ini bersyukur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan arahan duduk rumah membolehkan dirinya berbakti kepada bonda tercinta, Allahyarham Datuk Paduka Saadiah Adam, sebelum insan tersayang itu pergi buat selama-lamanya.

Akui Sheila, andai bukan disebabkan pandemik COVID-19, dirinya mungkin tidak berpeluang memberi perhatian penuh dalam mengurus keperluan arwah ibu yang menghembuskan nafas terakhir pada 1 Ogos 2020.

“Saya sedar PKP ibarat rahmat buat saya. Pada 2019, saya banyak mengembara berikutan komitmen kerja.

“Disebabkan itu, saya selalu berdoa sekiranya apa-apa terjadi kepada ibu, saya mahu berada di Kuala Lumpur.

“Allah seolah-olah memakbulkan doa saya apabila seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19 dan saya tidak boleh pergi mana-mana.

“Mulai Mac 2020, saya duduk di rumah bersama ibu sebelum beliau meninggal dunia pada 1 Ogos 2020.

“Saya meluangkan masa lima bulan menjaganya siang dan malam. Saya sangat berpuas hati kerana sebelum ibu pergi, saya dapat buat apa yang boleh seperti memandikannya, menyuap makanan dan sebagai.

“Semua itu tidak sempat dilakukan ketika sibuk bekerja,” katanya.

Berikutan itu, Sheila sangat bersyukur Allah mendatangkan hikmah di sebalik ujian yang diturunkan.

Allahyarham Saadiah yang memiliki lapan cahaya mata, meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 96 tahun.

Menurut Sheila, ibunya tidak mempunyai sebarang penyakit, sebaliknya, badan lemah dan kurang selera makan.

“Kesihatan ibu merosot sejak Jun 2020 dan tidak lama kemudian, beliau pergi akibat sakit tua,” katanya.

Tiket Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 dijual mulai 12 Disember.

Peminat boleh mendapatkan tiket serendah RM288 sehingga RM1,288 dengan melayari www.jiobuddy.asia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat