Famili Duo bukan ‘tangkap muat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tujuh pasangan yang bertanding pada musim baharu program realiti, Famili Duo dibuktikan mempunyai ikat persaudaraan sejajar nama rancangan terbitan TV3 itu.

Penerbit Famili Duo, Nuradillah Abdullah, berkata tiada istilah ‘tangkap muat’, sebaliknya, pencarian peserta dibuat teliti bagi mengelak timbul pertikaian dalam kalangan penonton.

Nuradillah berkata, bukan mudah mendapatkan pasangan yang mempunyai pertalian hingga mereka terpaksa mengundang peserta musim lalu.

“Mungkin tampak mudah, tetapi sebenarnya, sukar untuk mencari penyanyi yang ada kaitan… Industri kita tidaklah besar mana.

“Lagipun, pada musim lalu, kita mengundang 40 pasangan, jadi, mustahil untuk mencari peserta yang langsung tidak pernah menyertai Famili Duo.

“Cuma kali ini, kita ubah format. Jika sebelum ini, konsepnya kalah mati, kali ini, tujuh pasangan bertarung hingga minggu ketujuh.

“Hanya empat pasangan akan dipilih mara ke peringkat akhir pada minggu kelapan. Kita tawarkan hadiah wang tunai bernilai RM100,000 kepada juara,” katanya kepada BH Online.

 

Penerbit Famili Duo, Nuradillah berkongsi tiada istilah ‘tangkap muat’, sebaliknya, pencarian peserta dibuat teliti bagi mengelak timbul pertikaian dalam kalangan penonton. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Penerbit Famili Duo, Nuradillah berkongsi tiada istilah ‘tangkap muat’, sebaliknya, pencarian peserta dibuat teliti bagi mengelak timbul pertikaian dalam kalangan penonton. – NSTP/Saifullizan Tamadi

 

Musim baharu menyaksikan Ara Johari dan Shaffiq Erwin yang juga sepupu beradu bakat dengan peserta lain iaitu Ayda Jebat dan Fyna Jebat (adik-beradik); Bella Astillah dan Wani Kayrie (sepupu) serta Sabhi Saddi dan Fareed PF K-Clique (adik-beradik).

Turut bersaing Sissy Imann dan Naim Daniel (sepupu); Siti Sairah dan Siti Saida (adik-beradik) serta Yamani Abdillah dan Zaki Yamani (adik-beradik).

Musim baharu Famili Duo bakal menemui penonton setiap Ahad mulai 18 Disember ini pada jam 9 malam di TV3.

Nuradillah berkata, setiap minggu peserta diberikan tugasan dengan tema berbeza bagi merebut hadiah mingguan RM10,000.

Pemarkahan ditentukan juri tetap iaitu sebanyak 80 peratus dengan baki 20 peratus daripada undian atas talian oleh penonton.

Famili Duo diketuai Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek, manakala Muhamad Sufian Che Isa bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Famili Duo turut menampilkan juri baharu iaitu Ajai dan Mas Idayu.

Ajai berkata, kreativiti, kemantapan vokal dan kemesraan atas pentas diambil kira dalam pemarkahan.

“Saya harap peserta jangan hilang keyakinan diri atau terlalu yakin,” katanya.

 

Bella berjanji memberi persembahan terbaik bersama sepupunya, Wani setiap minggu. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Bella berjanji memberi persembahan terbaik bersama sepupunya, Wani setiap minggu. – NSTP/Saifullizan Tamadi

 

Bagaimanapun, Ajai berpendapat, pemilihan peserta pada musim ini menarik.

“Semua peserta mempunyai kebolehan menyanyi. Tidak ada yang terlalu menonjol, sebaliknya, semuanya seiring.

“Cuma saya harap peserta tidak mengabaikan kepentingan susunan lagu kerana ia faktor penting dalam pemarkahan.

“Jadi, manfaatkan pengarah muzik yang disediakan produksi,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada peserta, Bella mengakui menyertai musim baharu Famili Duo bagi mengasah bakat nyanyiannya.

Bella berjanji memberi persembahan terbaik bersama Wani setiap minggu.

“Saya sertai pertandingan ini untuk mencabar diri dan memperbaiki mutu nyanyian.

“Siapapun yang menyertai pertandingan pasti ada impian untuk menang. Namun, itu bukanlah fokus utama saya.

“Jika menang, itu adalah bonus. Fokus saya adalah untuk memberi persembahan terbaik setiap minggu agar dapat melangkah ke peringkat akhir,” katanya.

Musim baharu Famili Duo dibawakan khas penaja bersama iaitu Good Virtues Co dan Polident. Program realiti ini dikendalikan Janna Nick dan Sean Lee.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat