PM Bagi Markah 90/100 Prestasi Kabinet

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi markah 90 peratus prestasi keseluruhan 100 hari Jemaah Menteri.

Kata beliau, prestasi 100 hari Kabinet pimpinannya belum menepati sasaran 100 peratus seperti yang dihasratkan

Namun pada ketika ini, kata Ismail Sabri, Ahli Jemaah Menteri telah mencapai sekitar 90 peratus.

“Walau bagaimanapun, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata. Maka, peratusan yang dicapai ini bukan alasan untuk kita mendabik dada, sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk kami terus bekerja bersama rakyat.

“Sasaran penuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam, menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada Keluarga Malaysia, dengan mengetepikan segala kerenah birokrasi yang rumit.

“Bak kata orang Iban, “Entik Begempung Kitai Sepanjung, Entik Pamar Kitai Dekat Ngepar”- Jika bersatu, suara kita akan lebih didengar, jika berpecah usaha kita sia – sia,” katanya pada majlis perasmian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas pencapaian ini.

“Prestasi yang saya maklumkan, bukan hanya memberikan tumpuan kepada KPI semata-mata, tetapi juga mengambil kira persepsi Keluarga Malaysia melalui tinjauan soal selidik yang diberikan. Penglibatan Keluarga Malaysia dalam menilai kepemimpinan, integriti, komunikasi, kebolehpercayaan, responsif dan empati setiap Jemaah Menteri dan kementerian amatlah dihargai.

“Hal ini selaras dengan Key Happiness Outcome (KHO) yang telah diperkenalkan dalam Keluarga Malaysia untuk melengkapi KPI yang disasarkan. KHO dapat mengukur kepuasan hati rakyat pada bilabila masa. Ia dapat memperbaiki kedudukan negara dalam carta
Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report, yang kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021.

“Saya dimaklumi, seramai 190,914 ahli Keluarga Malaysia terlibat dalam tinjauan soal selidik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian,” ujarnya.

Menurut beliau, usaha ini merupakan permulaan bersejarah kerana penilaian 360 darjah buat pertama kalinya dilaksanakan untuk menilai pencapaian kerajaan.

“Saya berharap, lebih ramai lagi Keluarga Malaysia memberikan pandangan melalui pelbagai mekanisme penambahbaikan, bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Sesungguhnya, pencapaian kerajaan pada hari ini hasil kerjasama semua sebagai sebuah keluarga besar, yang sentiasa menyokong, membantu dan bersatu hati.

“Saya memahami bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini,” kata Ismail Sabri.

Namun kata Perdana Menteri lagi, 100 hari bukanlah jangka masa yang memadai untuk mengukur prestasi. Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian serius dan ditambah baik.

“Kami akan berusaha dengan sebaik-baiknya, demi kemaslahatan rakyat.

“Secara kolektif, kita bergerak mengharungi dan menerjah rintangan dalam memacu negara ke hadapan, bersandarkan semangat Keluarga Malaysia sejati.

“Keluarga kita ialah tanggungjawab bersama. Kita tetap bermuafakat dalam apa jua keadaan, kerana aspirasi dan matlamat kita ialah inspirasi kita bersama, ibarat kata pujangga “Banyak perkara boleh mengubah kita tetapi kita bermula dan berakhir dengan institusi keluarga,” ucap Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat