Kerajaan Ikrar Ambil Kira Analisis Sentimen Rakyat Untuk Tambah Baik Perkhidmatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berjanji kerajaan di bawah pentadbirannya akan mengambil kira analisis sentimen rakyat yang telah dilaksanakan terhadap Ahli Jemaah Menteri dan kementerian.

Katanya, setiap pandangan dan luahan rakyat mesti didengari dan diambil kira untuk menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan, umpama memerah nyiur, santan diambil, hampas dibuang.

“Inilah janji saya kepada Keluarga Malaysia,” ikrar beliau dalam ucapan pada majlis perasmian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau mengumumkan kerajaan juga akan merancakkan usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

“Di bawah inisiatif penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), seramai 14,740 pelajar telah mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan melalui Program GetHired@KPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Manakala, melalui portal MyFutureJobs, Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 55,528 penempatan pekerjaan daripada pelbagai sektor telah dilaksanakan melalui portal ini.

“Bagi tempoh 1 September hingga 9 Disember, sejumlah 728,444 kekosongan telah didaftarkan di portal yang sama,” ujarnya.

Hari ini Perdana Menteri turut mengumumkan, 24,300 peluang pekerjaan melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di program Aspirasi 100 Hari sepanjang empat hari ini.

“Sebelum ini, kita mendengar bahawa ramai di kalangan pelajar B40 terutama menghadapi masalah pembelian makanan kerana belum menerima biasiswa dan bantuan. Akibat dari keadaan ini, mereka terpaksa mengikat perut untuk makan.

“Alhamdulillah, dengan pengenalan FOOD@Campus, mereka mendapat baucar tunai RM15 untuk membeli makanan di pusat pengajian masing-masing.

“Baucar ini diagihkan kepada pelajar terpilih yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40 melibatkan penuntut universiti awam, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara. Program FOOD@Campus ini telah memanfaatkan seramai 470,444 penuntut setakat ini,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu, “Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya maka, kebersamaan kita bermula dengan persefahaman politik, oleh itu, semua pihak mula berganding bahu melawan COVID-19 dan menangani permasalahan ekonomi.

Perdana Menteri menjelaskan, Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani bersama pembangkang sangat penting, bukan sahaja untuk mencapai kestabilan politik, malah memulihkan ekonomi negara dan kesihatan awam.

“Pemeteraian Persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) telah melakar sejarah baru kepada negara.

“Ia meletakkan negara dan rakyat melangkaui kepentingan politik kepartian, bak kata pepatah, elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat.

“Aspirasi pentadbiran yang direncanakan oleh kerajaan bukan janji kosong, tetapi usaha bersepadu yang dilaksanakan secara tekal. Kerajaan sedar akan keperluan untuk bekerja bersama rakyat dalam memulihkan isu kesihatan dan ekonomi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat