Covid-19: Hampir 9,000 Kes Dicatatkan

- Advertisement -

PETALING JAYA: Ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dengan Selangor dan Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Di Perketatkan (PKPD), jangkitan Covid-19 terus melonjak kepada 8,868 kes semalam, sekali gus yang kedua tertinggi tahun ini selepas 9,020 kes direkodkan pada 29 Mei lalu.

Angka kematian iaitu 135 semalam adalah yang tertinggi sejak pandemik selepas merekodkan 126 mangsa terkorban pada 2 Jun lalu.

Bermula Isnin lalu, jangkitan Covid-19 mencatatkan 6,387 kes dengan 77 kematian, diikuti Selasa (7,643 kes) dengan 103 kematian manakala Rabu (7,097 kes) dengan 91 kematian.

Dengan kes harian yang terus melebihi 5,000, perkara itu tidak memungkinkan negeri-negeri memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), malah bertambah teruk dengan ramai yang dipaksa ‘terperuk’ di rumah ekoran PKP masih berterusan.

Justeru, ramai pihak mempersoalkan: “Betulkah ada PKP? Ordinan Darurat? Sekatan pergerakan penuh? Kalau ada, mengapa kes masih tinggi?”

Malah, Ordinan Darurat dilaksanakan hampir enam bulan dan bakal berakhir Ogos ini masih tidak menunjukkan hasil ke arah memulihkan penularan Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Halim Ishak berkata, kerajaan tidak boleh lagi berkompromi berkenaan nyawa rakyat jika peningkatan jangkitan harian didorong oleh kluster kilang.

Menurut beliau, sepatutnya kerajaan bertindak dengan mengeluarkan saman kepada kilang-kilang selain menyenaraihitamkan mana-mana yang tidak mematuhi arahan di bawah Akta 342.

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri perlu membuat penguatkuasaan ke kilang-kilang dan tidak sewenang-wenangnya memberi kebenaran beroperasi. Jika setakat ‘cakap-cakap’ atau keluar arahan tidak boleh, ia tidak cukup tetapi kena ada pemantauan.

“Apabila sektor kilang yang majoritinya pekerja asing dibuka, maka hanya mereka dan tauke berkenaan terus kaya tetapi rakyat yang miskin terus miskin,” katanya.

Menurut Halim, mengikut trend jangkitan yang terus meningkat, kerajaan kini perlu ada satu pelan perancangan dan bukannya pelan pemulihan negara.

“Pelan pemulihan ketika ini tidak sesuai kerana negara belum pulih. Bagi mereka yang makan gaji mungkin tidak ada masalah tetapi bekerja ikut hari bagaimanapun untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, langkah memerangi wabak terbukti gagal apabila kes jangkitan terus meningkat dengan angkat korban juga semakin tinggi.

“ Sampai bila rakyat boleh bertahan selain kita juga kasihan dengan petugas barisan hadapan yang sudah tentu penat tetapi masih bekerja atas sebab tugas.

“Kalau sudah tahu kluster kilang punca kes meningkat, percepatkan proses vaksiniasi atau pilihan yang ada tutup semua kilang tersebut”, kata beliau.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub pula berkata, peningkatan kes Covid-19 kini terus menjadi persoalan rakyat kerana kerajaan sudah melaksanakan PKPD dan PKP tetapi situasi semakin teruk.

Menurut beliau, kerajaan harus melakukan sesuatu yang pantas seperti mengutamakan peningkatan vaksinasi kepada pekerja kilang dan penduduk di kawasan industri selain jangan mempolitikkan isu kesihatan.

Dalam pada itu, di Kota Kinabalu, Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Gleneagles, Dr. Timothy William berkata, kerajaan tidak boleh menuding jari menyalahkan rakyat didakwa tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) kerana ketika ini tiada apa lagi yang orang awam boleh lakukan.

Beliau berkata, orang ramai sudah melakukan yang terbaik seperti mematuhi SOP, pemakaian pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan duduk di rumah bagi mereka yang tidak bekerja.

Bagaimanapun, kata beliau, hasilnya tidak seperti diharapkan malah semakin teruk apabila angka jangkitan dan kematian.- UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat