RM26 juta rugi akibat tuntutan palsu PERKESO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sanggup menukar pesakit ketika pemeriksaan doktor dan mengubah maklumat laporan perubatan adalah antara modus operandi sindiket tuntutan palsu bagi mendapatkan bayaran faedah dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata taktik berkenaan dipercayai dijalankan dalang bertindak seumpama ejen insurans bagi mendapatkan pelbagai tuntutan faedah seperti tuntutan hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan tuntutan pencen ilat.

“Mereka (dalang) memperdaya pencarum dengan mengatakan mereka sebagai orang tengah yang boleh menjamin memperoleh tuntutan faedah dari PERKESO dan mengenakan bayaran antara RM15,000 dan RM20,000 untuk tuntutan tertentu,” katanya.

Dr Mohammed Azman berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini bagi mengulas tangkapan dalang penipuan dana PERKESO oleh SPRM, Isnin lalu.

Menurut beliau, sindiket tuntutan palsu tersebut dipercayai masih aktif di sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Klang, Selangor.

Dr Mohammed Azman berkata, sebanyak 415 kes penipuan pelbagai tuntutan dikesan dari 2017 hingga 2019 membabitkan kerugian RM26 juta dan jika dibayar berterusan tuntutan tersebut, ia akan membabitkan kerugian hingga RM68 juta.

“Kes (tuntutan palsu) berjaya kita kesan dan sebahagiannya sedang dalam siasatan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya sambil menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana wakil atau ejen yang boleh memudah dan meluluskan tuntutan faedah daripada PERKESO.

Justeru, beliau berkata, pencarum PERKESO, yang ingin membuat tuntutan, perlu hadir ke mana-mana pejabat Perkeso dan proses tuntutan adalah percuma.

“Jika ada pihak yang terbabit atau sudah bayar duit dengan mana-mana ejen atau dalang, sila tampil untuk memberi maklumat,” katanya menambah PERKESO memandangkan serius isu ini dan mahu aktiviti ini dihentikan segera.

Isnin lalu, sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka ditahan SPRM dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan faedah PERKESO yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Suspek yang berusia antara 35 hingga 67 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Putrajaya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat