Tempoh Moratorium Harus Dilanjutkan – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Melalui hantaran di akaun Facebooknya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar tempoh Moratorium yang akan berakhir hujung September ini dilanjutkan untuk mendokong pelan pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Untuk itu, beliau mencadangkan agar Bank Negara menurunkan kadar OPR kepada sekitar 0%.

Moratorium yang sedang berlangsung ini jelas Zahid, merupakan satu komponen penting yang menyumbang kepada keberkesanan pakej rangsangan ekonomi Kerajaan Malaysia.

Kata beliau, “Moratorium telah memberikan manfaat yang sangat besar bukan sahaja kepada peminjam, malah merupakan antara polisi penting yang berjaya menyelamatkan ekonomi negara kerana ia telah mempertahankan tingkat perbelanjaan sektor domestik (isirumah dan perniagaan) daripada terus merudum. Untuk itu saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan bank-bank yang menjayakan polisi ini”.

Moratorium juga jelasnya, adalah satu bentuk pakej rangsangan ekonomi tanpa kerajaan meningkatkan perbelanjaan fiskal. Ini kerana moratorium membolehkan peminjam yang terdiri daripada rakyat awam dan perniagaan, terutamanya SME dapat meningkatkan perbelanjaan mereka dalam ekonomi tanpa kerajaan perlu mengeluarkan belanja.

Menurut laporan “Moratorium yang diluluskan adalah berjumlah lebih kurang RM 40 billion”.

Tambah Zahid lagi, “Ini bermakna seandainya moratorium tidak diberikan oleh kerajaan, perbelanjaan domestik dalam ekonomi negara akan berkurang sebanyak RM40 billion kerana wang yang digunakan untuk membayar balik pinjaman bank adalah merupakan bocoran wang yang terkeluar dari kitaran ekonomi”.

Kebimbangan beliau ialah, sekiranya peminjam perlu membayar pinjaman ketika ini, ia bukan sahaja membebankan peminjam ketika banyak sektor perniagaan dan industri terpaksa tutup akibat lockdown serta ramai pekerja dipotong gaji dan dibuang kerja.

Keadaan ini juga kata Zahid, akan mengakibatkan agregat perbelanjaan dalam ekonomi domestik menguncup sebanyak RM40 bilion.

“Justeru, andai kata moratorium tidak dilaksanakan, ia hanya akan lebih merugikan sektor-sektor lain”, jelas Zahid lagi

Bagi tahun 2020, Bank Negara mengunjurkan ekonomi negara bakal mencatatkan pertumbuhan negatif atau paling tinggi, dijangkakan ekonomi hanya akan tumbuh dl sekitar 0.5% sahaja.

Keadaan ini kata beliau lagi, menunjukkan berlakunya kelembapan ekonomi ketika ini adalah akibat agregat perbelanjaan mengalami penurunan, antaranya disebabkan oleh perbelanjaan isirumah yang terkesan kerana pendapatan pekerja terjejas.

“Selain itu, perbelanjaan pelaburan juga mengalami penurunan kerana sektor perniagaan dan korporat mengambil keputusan untuk tidak melabur kerana mereka menjangkakan kelembapan ekonomi akan berlaku”, kata Presiden UMNO itu.

Bukan sahaja pekerja mengurangkan perbelanjaan isirumah, malah sektor perniagaan dan korporat juga mengurangkan perbelanjaan pelaburan mereka

Peningkatan perbelanjaan isirumah adalah merupakan antara komponen terpenting yang menjadi pendorong kepada pemulihan ekonomi.

“Oleh itu, tingkat perbelanjaan isirumah yang stabil dan tidak mengalami penurunan mendadak setelah tempoh moratorium tamat nanti bakal mewujudkan ‘business confidence’ , ini dapat mengelakkan daripada lebih banyak perniagaan gulung tikar dan dapat menyelamatkan ramai pekerja dibuang kerja”, tambah beliau.

“Oleh itu, pada pandangan saya tempoh moratorium yang bakal tamat pada September ini wajar dilanjutkan lagi sehingga penghujung tahun ini atau suku pertama tahun 2021. Dengan tempoh moratorium dilanjutkan, maka penguncupan mendadak tingkat perbelanjaan domestik dalam ekonomi dapat dielakkan” jelas bekas Menteri kabinet Persekutuan tersebut.

“Saya amat yakin sektor perbankan dalam negara kita sangat mampu untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan polisi ini sekiranya tempoh moratorium dilanjutkan. Saya yakin perlanjutan tempoh moratorium tidak akan merugikan bank, sebaliknya ia hanya akan mengurangkan keuntungan bank sahaja”.

Pengerusi BN itu turut merujuk laporan dari Bank Negara yang mengatakan bahawa bank-bank di negara kita berada dalam kedudukan yang kukuh dan mampu untuk bertahan sekiranya keuntungan mereka berkurang.

Justeru, Zahid berharap agar Bank Negara dapat mengurangkan OPR kepada sekitar 0% sejajar dengan polisi monetari yang dilaksanakan di banyak negara lain kini.

Pada pandangan beliau, penurunan kadar bunga kepada sekitar 0% ketika ini tidak akan mendatangkan risiko inflasi kepada negara kita, ini kerana kelembapan ekonomi telah menyebabkan banyak negara berhadapan dengan risiko deflasi, termasuklah di Malaysia.

Pengurangan kadar bunga juga kata Zahid lagi, akan mengurangkan kos pinjaman bagi perniagaan, seterusnya mengurangkan kos pelaburan dan sedikit sebanyak dapat membantu pemulihan ekonomi.

– SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat