Pas disaran pergi bersama Umno, tinggalkan PN kepada Bersatu – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Pas kini lebih menjadi liabiliti daripada aset kepada Perikatan Nasional (PN) kerana kurang komited terhadap gabungan, menyebabkan kelewatan keputusan, menjejaskan jenama PN, dan berulang kali bertindak bertentangan dengan kepentingan politik PN.

Justeru Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mencadangkan adalah lebih wajar Pas meninggalkan PN dan bersama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

“Jika benar khabar-khabar angin bahawa Pas telah ada rundingan dengan Umno, dan bahawa Pas tidak akan bertanding dalam PRN Johor dan akan ditawarkan kerusi Adun lantikan selepas PRN Johor, maka bukankah lebih baik dan lebih wajar Pas secara sukarela meninggalkan PN dan bersama dengan Umno dalam MN.

“Jika khabar-khabar angin ini benar, tidak wajar untuk Pas terus mempengerusikan PN. Bukankah itu lebih baik daripada Pas dilihat cuba mensabotaj Bersatu, PN dan parti-parti lain yang mahu bersama PN?

“Bersatu pula dicadangkan meneruskan PN bersama parti-parti lain dan rakan dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) bagi menjaga kelangsungan serta jenama PN,” cadang Tun Faisal dalam muat naik di Facebook beliau pada Jumaat.

Memperincikan saranannya itu, Tun Faisal berkata, mungkin lebih wajar untuk Pas keluar daripada PN dan membentuk gabungan baru, menggunakan logo dan jenamanya sendiri dan Bersatu kekal dengan PN bersama parti-parti lain dan parti-parti dalam IPR.

Hal ini kerana katanya, Pas adalah parti yang besar, banyak duit, ramai ahli dan ramai jenteranya.

“Antara hujah utama kenapa Pas lebih wajar mempertimbangkan untuk keluar PN berbanding Bersatu ialah Pas tidak komited kepada PN. Bahkan terlibat dalam rundingan politik di luar PN seperti “Langkah Bangkok”.

“Berulang kali menyuarakan hasrat menghidupkan semula MN bersama Umno.Didakwa mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Zahid Hamidi tanpa pengetahuan Bersatu atau PN.

“Juga, kurang kesetiaan kepada jenama PN -di Kelantan dan Terengganu, Pas lebih mengutamakan logo Pas berbanding logo PN.
Di Johor juga terdapat cadangan untuk bertanding menggunakan logo Pas.

“Kepimpinan PN di bawah Pas dianggap lemah – Pengerusi PN dari Pas dilihat gagal mengurus konflik dalaman dan tidak menunjukkan kesegeraan membuat persiapan pilihan raya. Bahkan, mesyuarat penting serta rundingan kerusi pilihan raya didakwa lambat diadakan.

“Keputusan PN lambat dilaksanakan misalnya, pelantikan Ketua Pembangkang dan beberapa keputusan Majlis Tertinggi PN mengambil masa lama untuk dilaksanakan. Begitu juga dengan proses pindaan Perlembagaan PN juga tertangguh kerana kelewatan maklum balas daripada Pas.

“Struktur keputusan menjadi tidak efektif apabila keputusan PN dikatakan perlu dirujuk semula kepada kepimpinan Pas dan Majlis Syura Ulama, menyebabkan proses membuat keputusan menjadi perlahan,” dakwa beliau.

Bukan cuma itu Tun Faisal juga mendakwa, Pas menjejaskan identiti PN.

“Jenama PN yang berimej “biru” dan lebih inklusif dilihat berubah menjadi terlalu sinonim dengan Pas yang berimej “hijau”.

“Keadaan ini dikatakan menyukarkan PN menarik sokongan parti-parti bukan Melayu.

“Tindakan Pas bercanggah dengan kepentingan PN.

“Kenyataan dan tindakan politik Pas sering dianggap menguntungkan pihak lain serta melemahkan kedudukan PN.

“Pemutusan hubungan dengan Bersatu ketika PN menghadapi pilihan raya negeri dianggap merugikan gabungan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat