RCI Untuk Ketua Hakim Negara, 4 hakim Mahkamah Persekutuan

- Advertisement -

PEKAN – UMNO Pekan mendesak satu siasatan dijalankan terhadap ketua hakim negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan empat lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 23 Ogos tahun lalu.

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menjelaskan siasatan itu perlu dilakukan melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) demi menjaga imej dan integriti badan kehakiman negara.

“Dengan tidak sedikitpun mengurangkan rasa hormat kepada badan kehakiman negara, UMNO Pekan mendesak agar kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta 4 orang panel hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang dan menolak rayuan dikemukakan Datuk Seri Najib pada 23 Ogos 2022.

“Desakan ini adalah dengan mengambil kira hujahan ketua panel mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli – hakim besar Sabah dan Sarawak, yang menyebut dengan jelas bahawa berlaku penyelewengan keadilan (miscarriage of justice) dan hak Datuk Seri Najib mendapat perbicaraan yang adil telah dinafikan (deprived of a fair hearing),” katanya dalam sidang media di Pekan, petang semalam.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyurat kali pertama UMNO Bahagian Pekan di sebuah hotel di bandar Pekan.

Selain Tengku Maimun, empat lagi hakim yang mendengar permohonan Najib pada 23 Ogos tahun lalu adalah hakim besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Abang Iskandar kini adalah presiden Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 pada 31 Mac lalu menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan majoriti itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Vernon berkata mahkamah mendapati tidak berlaku kegagalan dalam proses keadilan ketika pendengaran prosiding rayuan akhir kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

Anggota panel lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin menghargai kenyataan bersama 191 ketua UMNO bahagian yang mahu mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Najib diberikan pengampunan diraja memandangkan bekas ahli parlimen Pekan itu tidak diberikan perbicaraan yang adil.

“Kami berharap Lembaga Pengampunan yang akan bersidang tidak lama dapat mengambil kira hujahan Abdul Rahman (hakim besar Sabah dan Sarawak).

“Pada pandangan sayalah, kita cuma nak mengelakkan daripada berlaku kekeliruan, pandangan berbeza-beza dalam kalangan rakyat yang mungkin boleh menimbulkan keresahan rakyat terhadap (keputusan) badan kehakiman.

“Jadi, kita cuba sedaya upaya kitalah untuk menuntut keadilan kepada Datuk Seri Najib,” katanya.

Semalam, ahli majlis kerja tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 28 April ini diharapkan membawa khabar baik untuk Najib.

Mesyuarat bulanan MKT UMNO pada Jumaat membuat keputusan sebulat suara untuk memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan pengampunan penuh buat Najib sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat