Bermodalkan RM2,000, Kini Siti Hajar Raih Pendapatan RM70,000 Sebulan

- Advertisement -

ALOR SETAR – Siapa sangka bermula dengan modal RM2,000 yang dipinjam daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) 11 tahun lalu, seorang pengusaha telekung hari ini mampu meraih pendapatan sehingga RM70,000 sebulan.

Siti Hajar Mydin, 54, dari Jalan Kubur Panjang, Pokok Sena di sini ketika menceritakan kisah kejayaannya itu berkata, dia membabitkan diri dalam bidang itu sejak 2010 setelah perniagaan kedai jahitan pakaiannya terpaksa ditutup kerana menanggung kerugian.

“Sebelum itu, kira-kira 17 tahun lalu, saya membuka kedai jahitan dan ambil upah menjahit termasuk dari butik. Bagaimanapun saya terpaksa berhenti apabila ditipu dan tidak mendapat bayaran tempahan.

“Daripada situ saya beralih kepada menjahit telekung dan rakan mencadangkan supaya menjadi Sahabat AIM setelah melihat saya buntu untuk mencari modal.

“Saya masih ingat pinjaman pertama saya adalah RM2,000 pada 2010 yang saya gunakan untuk membeli kain, renda dan sebagainya bagi menjahit telekung,” katanya ketika ditemui di bengkel menjahit telekungnya di Jalan Kubur Panjang, Pokok Sena di sini baru-baru ini.

Ceritanya lagi, telekung dihasilkan kemudiannya dijual kepada pemborong telekung di Kompleks Pekan Rabu di sini.

“Pertama kali saya hanya membawa lima pasang telekung untuk seorang pemborong, tak sangka begitu laris sehingga saya turut menerima permintaan daripada tujuh pemborong lain di situ,” kata pemilik syarikat Ansh Maju Enterprise ini.

Menurut Siti Hajar, sahabat-sahabat AIM di sekitar Cawangan Pokok Sena turut membantu dalam usaha membesarkan perniagaan telekungnya yang kini mampu menghasilkan sehingga 3,000 pasang setiap bulan mengikut tempahan.

“Sekarang saya memasarkan telekung kepada lebih 20 pemborong dari seluruh negara dan Alhamdulillah kini di bengkel ini mempunyai lebih 12 pekerja tetap selain 10 kakitangan sambilan,“ jelasnya yang turut mempunyai label telekung sendiri, iaitu Telekung Imza.

Tambah wanita ini, dia turut mendapat pembiayaan daripada AIM untuk membesarkan bengkel dan menambah peralatan seperti mesin sulam bagi menampung permintaan.

“Jumlah keseluruhan pinjaman saya dengan AIM adalah sebanyak RM88,000,” katanya.

Siti Hajar memberitahu, permintaan telekung agak menggalakkan tahun ini berbanding tahun lepas dan antara yang popular ialah telekung Kedah, Japanese Cotton dan Cotton Toyobo.

Bercakap tentang rahsia kejayaannya, Siti Hajar berkata, pengusaha perlu tahu untuk apa pembiayaan dibuat dan jangan menyalahgunakan wang yang diterima untuk tujuan peribadi.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan telekung keluaran syarikat ini, silalah menghubungi Siti Hajar di talian 019-454 6600. – UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat