Seorang perunding, pendamai yang handal

- Advertisement -

SEORANG pemimpin membawa rakyatnya ke mana mereka ingin pergi. Pemimpin yang hebat pula tidak membawa rakyatnya ke mana mereka ingin, tetapi ke mana mereka harus berada.”

Penyataan oleh Rosalynn Carter ini merumuskan kehidupan dan jasa Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang hari lahirnya ke-118 kita sambut pada hari ini.

Tunku terkenal sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia dan adalah penggerak utama di sebalik pemindahan kuasa daripada penjajahan British kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

Namun, kita sering lupa berkaitan keperibadian beliau yang menarik dalam pelbagai aspek. Mereka yang mengenali Tunku secara peribadi akan menggambarkan beliau sebagai seorang yang sederhana, rendah diri, berdedikasi dan mulia.

Dalam kehidupan peribadinya, Tunku tidak mudah terperangkap dalam sesuatu dogma. Beliau tidak membiarkan suara pendapat orang lain untuk menindas suara hatinya sendiri. Sebagai pemimpin, beliau memilih untuk dikelilingi golongan bijaksana dan arif.

Tunku adalah seorang yang berwawasan dan mendukung aspirasi ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ untuk negara kita – sebuah impian yang melangkaui masa pada ketika itu. Sebagai seorang perunding dan pendamai yang handal, Tunku berjaya menyatupadukan masyarakat yang pelbagai kaum pada 1957 dan 1963.

Kedamaian dan keharmonian antara kaum adalah warisan Tunku kepada negara. Sejak beliau mewarisi kepimpinan Umno daripada Dato’ Onn Jaafar pada Ogos 1951, beliau bekerja tanpa lelah untuk menyatukan masyarakat yang berbeza kaum dan agama di bawah satu platform politik berdasarkan prinsip kompromi dan bertolak ansur.

Perlembagaan 1957 yang dirangka Suruhanjaya Reid dengan bantuan Tunku dan rakan-rakannya dalam Parti Perikatan mengambil pendekatan sederhana. Perlembagaan ini merangkumi pelbagai ciri-ciri pribumi Kepulauan Melayu.

Antaranya adalah sebuah sistem unik yang merangkumi semua monarki Melayu bersatu di bawah Majlis Raja-Raja, tanah rizab Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi kebebasan beragama masih diberikan kepada masyarakat lain dan peruntukan tindakan afirmatif untuk mengekalkan kedudukan istimewa Melayu serta juga (bermula 1963) golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, ciri-ciri Melayu-Muslim-Bumiputera yang terdapat dalam Perlembagaan itu seimbang dengan peruntukan yang sesuai dengan masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.

Kewarganegaraan diberikan kepada hampir 1.3 juta orang bukan Melayu. Ini adalah satu tindakan yang luar biasa pada ketika itu. Proses pilihan raya dan bab yang berkaitan dengan kebebasan hak asasi diberikan kepada semua rakyat.

Di peringkat Persekutuan, keahlian bagi badan kehakiman, Kabinet, Parlimen dan Suruhanjaya Khas di bawah Perlembagaan sudah dibuka kepada semua warga Malaysia.

Walaupun agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan, Malaysia bukan sebuah negara teokrasi. Perlembagaan adalah agung. Semua komuniti agama dibenarkan menganut dan mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman dan harmoni.

Walaupun Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi, masih terdapat perlindungan untuk pengajian formal bagi bahasa lain di semua sekolah. Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dihadkan dengan beberapa batasan.

Sebagai contoh, selain daripada tanggungjawab baginda untuk melindungi semua rakyat Melayu dan Bumiputera, Yang di-Pertuan Agong juga diberi amanah untuk menjaga kepentingan komuniti yang lain.

Pada 1963, kemahiran kepimpinan Tunku berjaya mengubah Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Malaysia dengan autonomi khas untuk Sabah, Sarawak dan Singapura. Tambahan lagi, gabungan parti politik di bawah naungan Tunku dibina berdasarkan semangat perdamaian dan kesederhanaan antara kaum dan bukan dengan ideologi negatif yang memecahbelahkan masyarakat majmuk lain.

Secara keseluruhannya, semangat yang terkandung dalam Perlembagaan 1957 dan 1963 adalah semangat mengenai toleransi, kesederhanaan dan belas kasihan. Ini adalah sumbangan daripada Tunku yang akan berterusan. Di peringkat antarabangsa pula, Tunku adalah perancang utama dalam merangka dasar luar negara dan beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap kerjasama serantau di Asia Tenggara.

Tunku juga memainkan peranan penting dalam penubuhan Pertubuhan Kerjasama Islam dan setiausaha agung yang pertama bagi organisasi berkenaan. Sambil kita renungkan kehidupan dan kepimpinan Tunku, ia amat menyedihkan untuk menyedari bahawa masyarakat kita yang seketika dahulu majmuk dan cemerlang, tetapi pada hari ini sering dilanda masalah kaum dan agama.

Bagaimanapun, jangan kita berputus asa. Kesilapan masa lalu boleh mengubah diri kita untuk menjadi yang lebih baik daripada sebelum ini. Adakalanya, hanya dengan membuat kesilapan, dapat kita tahu arah tuju yang betul.

Penulis Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tunku Abdul Rahman

Bersama Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat