Nad pun kena ‘reject’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nama aktres, Nad Zainal, 31, kian utuh dan harum menerusi bakat besar dipertaruhkan. Dijolok dengan gelaran ‘ratu watak berat’ membuktikannya mampu mengukuhkan kedudukan sebagai bintang drama hebat.

Biarpun pernah menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-28 (ABPBH 28)

dan Pelakon Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin 2018, namun ia bukanlah akses buat Nad sentiasa berada dalam kedudukan selesa dan atas kayangan.

Jolokan gelaran ratu watak berat tidak bermakna Nad tak pernah menerima ditolak. Hakikatnya, Nad juga pernah menjadi pilihan terakhir.

Aktres yang kini sedang hangat diperkatakan menerusi drama Takdir Yang Tertulis itu mengakui, namanya pernah beberapa kali ditolak dalam membintangi drama, tetapi ia tidak sesekali membuatkannya kecewa dan putus asa dalam meneruskan perjuangannya.

Bagi Nad, nama kena ‘reject’ bukanlah satu isu baharu yang harus dipertikaikan dalam industri seni.

“Saya banyak kali kena tolak, tetapi saya reda, mungkin rezeki saya. Realitinya, saya pernah teruja mahu menjayakan sebuah filem, tetapi nama saya digugurkan. Hingga hari ini, saya tak tahu apa yang berlaku pada filem berkenaan.

“Namun, pengalaman ini membuatkan saya belajar kena sentiasa bersabar dan yakin. Memanglah perit memikirkannya, tetapi saya percaya mungkin ada rezeki yang lebih baik. Jadi, apa pun berlaku kena sentiasa percaya pada rezeki yang ditentukan Allah SWT,” katanya.

Seperti drama Takdir Yang Tertulis arahan pengarah tersohor, Shahrulezad Mohameddin itu, Nad mengetahui dirinya menggantikan tempat Janna Nick, Datin Diana Danielle dan Amyra Rosli bagi membawakan watak utama, Juweta.

Seakan sesuai dengan judul drama, Nad berkata, sudah tertulis watak Juweta menjadi rezekinya, biarpun menjadi pilihan terakhir.

“Awalnya, saya dan Datin Elvina Mohamad menggantikan tempat Janna Nick dan Mimi Lana. Watak Azlan lakonan Nazim Othman pula sepatutnya dibawa oleh Syafiq Kyle.

“Bagaimanapun, Janna mempunyai komitmen lain, seterusnya nak digantikan dengan Diana dan Amyra. Pelakon lelaki pula antara yang disebut adalah Shukri Yahaya, tetapi semuanya sudah terikat dengan penggambaran drama lain.

“Jadi, saya dan pelakon lain dalam drama Takdir Yang Tertulis bukanlah pilihan pertama, tetapi inilah dikatakan percaturan Allah SWT. Kita perlu percaya pada rezeki, soal pilihan ke berapa tak perlulah difikirkan atau mahu berkecil hati. Ini kerana, saya siapa pelakon yang dipilih membawa watak dalam drama ini sejak awal lagi.

“Bagi saya, ia bukan perkara luar biasa untuk dibahaskan. Saya lebih suka pengarah dan penerbit berterus-terang daripada berselindung mengatakan kami pelakon pilihan pertama,” katanya.

 

Nad Zainal bergandingan dengan Nazim Othman menerusi drama Takdir Yang Tertulis arahan Shahrulezad Mohameddin.
Nad Zainal bergandingan dengan Nazim Othman menerusi drama Takdir Yang Tertulis arahan Shahrulezad Mohameddin.

 

Diperkenalkan menerusi drama Impian pada 2008, seterusnya menyerlah menerusi drama bersiri remaja, Memberku Hawa, Nad berkata, mulanya, dirinya agak gusar tidak dapat menjayakan watak Juweta dengan baik seperti yang diinginkan pengarah.

“Jika diikutkan, pengarah pastinya sudah ada bayangan daripada pelakon yang diinginkan. Apatah lagi, pengikut laman sosial, Janna dan Amyra lebih ramai jika nak dibandingkan dengan saya.

“Ini membuatkan saya lagi berdebar melihat mereka mahukan nama besar. Bagaimanapun, saya mengharapkan lakonan Juweta sampai ke jiwa penonton dan Shahrulezad okay.

“Saya mungkin pilihan terakhir, tetapi ia bukan alasan untuk saya berlakon ala-kadar. Tak kisahlah pilihan pertama atau terakhir, saya tetap kena memberi lakonan yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin bersyukur melihat maklum balas daripada tayangan lima episod. Rata-ratanya memuji lakonannya meskipun dirinya risau berikutan drama lalu, Hati Yang Tersakiti diulang siar.

“Saya yakin TV3 tidak mahu saya menggantikan tempat Janna, Diana dan Amyra kerana saya baru sahaja muncul dengan drama Hati Yang Tersakiti menerusi slot Samarinda. Saya fikir banyak kali sebab tak mahukan pengulangan memandangkan kisah dalam drama Takdir Yang Tertulis hampir sama.

“Bagaimanapun, saya tak sangka nama saya lepas disebabkan pelakon lain tidak boleh menjayakan. Alhamdulillah, ramai memberikan maklum balas positif. Tetapi, saya tak boleh terlalu gembira kerana baru beberapa episod ditayangkan. Apa-apa boleh berlaku pada pertengahan drama, bimbang penonton tidak suka,” katanya.

Selain Nad, Elvina dan Nazim, drama Takdir Yang Tertulis turut menampilkan Alvin Chong, Iman Suhana, Didie Alias dan ramai lagi.

Nad berkata, jika diikutkan, namanya juga tersenarai dalam drama Nur 2 membawa watak Juita. Namun, akhirnya watak itu digantikan dengan Azar Azmi.

Justeru, drama Takdir Yang Tertulis itu adalah kali pertama Nad bekerja di bawah arahan Shahrulezad.

“Ironinya, saya adalah pilihan pertama menerusi drama Nur 2 dan pilihan terakhir drama Takdir Yang Tertulis. Tak jadi Juita dalam Nur 2, Allah aturkan saya bawa watak Juweta dalam Takdir Yang Tertulis,” katanya.

 

Nad Zainal mungkin pilihan terakhir, namun ia bukan alasan untuknya berlakon ala-kadar. - Foto Nad Zainal
Nad Zainal mungkin pilihan terakhir, namun ia bukan alasan untuknya berlakon ala-kadar. – Foto Nad Zainal

 

Mengulas cabaran menjayakan watak Juweta ketika sedang hamil, Nad akui, ia bukanlah mudah, tetapi sentiasa berfikiran positif dan keadaan akan menjadi baik-baik sahaja.

“Shahrulezad takut apa-apa berlaku pada saya, sebab bimbang dipersalahkan. Tetapi, saya okay sahaja, saya kena selalu positif. Jika fikir sebaliknya, perkara negatif yang akan datang.

“Saya dapat melepaskan watak Juweta dengan gembira sebaik selesai penggambaran. Saya tidak terbawa-bawa hingga di luar lokasi penggambaran. Selalunya, saya akan tidur apabila ada masa berehat. Apabila rasa sudah bertenaga, saya banyakkan makan makanan manis,” katanya.

Nad yang kini sedang hamil tujuh bulan dan dijangka akan melahirkan anak kedua pada awal April depan.

Bagaimanapun, Nad berkata, suaminya, Faliq Muhammad Faliq Amirudin membuat keputusan untuk memberitahu jantina cahaya mata kedua selepas bersalin.

“Selepas diselamatkan dilahirkan, saya dan Faliq akan umumkan nanti. Saya mengharapkan jika boleh saya dikurniakan sepasang cahaya mata,” katanya yang akan kembali berlakon pertengahan tahun ini.

Nad mendirikan rumah tangga dengan Faliq pada 2015. Mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Fahad Ibrahim yang kini berusia lima tahun.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat