FFM31: Ejen Ali The Movie saingi filem cereka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sangkanya peluang untuk filem animasi Ejen Ali The Movie dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 tipis apabila acara itu terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19 yang serius, tahun lalu.

Biarpun jauh di sudut hati Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid teringin melihat karyanya diiktiraf di negara sendiri, namun, pengarah filem Ejen Ali The Movie ini terpaksa akur.

Namun, sudah namanya rezeki. Filem Ejen Ali The Movie yang baru-baru ini meraih trofi Watak Animasi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, terpilih bersaing pada FFM31 yang diputuskan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal dianjurkan, Jumaat ini.

Berkongsi keterujaan, Usamah berkata, borang penyertaan Ejen Ali The Movie dihantar pada 2019.

“Tetapi apabila penganjuran FFM dibatalkan berikutan pandemik COVID-19, kami anggap bukan rezeki untuk filem itu dipertandingkan pada festival berkenaan.

“Apabila kami dimaklumkan FFM31 bakal dianjurkan dan FINAS memberi kelonggaran kepada filem yang pernah menghantar penyertaan untuk bertanding, berita itu cukup melegakan hati kami.

“Jika bercakap mengenai anugerah, sudah tentu kami meletakkan harapan untuk filem ini menang. Tetapi dalam pertandingan, menang atau kalah lumrah.

“Jadi, kami bersedia dengan apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan pada malam kemuncak,” katanya kepada BH Online pada sidang media FFM31 di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Biarpun filem Ejen Ali The Movie pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa, namun, itu tidak bermakna peluang untuk membawa pulang trofi FFM mudah.

Usamah berkata, laluan filem terbitan Primeworks Studios (PWS) dan WAU Animation ini agak sukar berikutan banyak filem hebat menduduki senarai pencalonan kali ini.

“Tidak dinafikan kebanyakan filem yang dicalonkan bagus. Saya sempat bertemu dengan pengarah hebat filem Fly By Night, Zahir Omar.

“Kalau saya tengok daripada kategori filem dipertandingkan, tiada yang khusus untuk filem animasi. Sebaliknya, filem animasi bersaing dengan filem cereka lain.

“Berdasarkan situasi itu, saya rasa cukup mencabar,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan PWS, Datuk Khairul Anwar Salleh (kiri), Usamah (tengah) dan penerbit, Mohd Hafiz Mohd Hanafiah bangga Ejen Ali diumumkan pemenang kategori Watak Animasi Popular pada malam kemuncak ABPBH 34. - NSTP/Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan PWS, Datuk Khairul Anwar Salleh (kiri), Usamah (tengah) dan penerbit, Mohd Hafiz Mohd Hanafiah bangga Ejen Ali diumumkan pemenang kategori Watak Animasi Popular pada malam kemuncak ABPBH 34. – NSTP/Aziah Azmee

 

Mengulas keputusan FINAS meneruskan penganjuran FFM31 walaupun sebelum ini ada yang mempersoalkannya hingga mahu diboikot, Usamah memuji usaha agensi itu.

“Saya akui FFM adalah satu acara yang cukup besar berprestij buat penggiat industri perfileman. Apabila penganjuran FFM dibatalkan, saya anggap ia kehilangan besar buat industri.

“Justeru, apabila acara ini dianjurkan semula, ia memberi harapan dan menjadi pembakar semangat kepada pembikin filem untuk terus menghasilkan karya terbaik.

“Bukanlah hendak kata kita buat filem untuk kejar anugerah. Cuma tidak lengkaplah industri perfileman jika tiada festival filem,” katanya.

Usamah juga menyambut baik inisiatif kerajaan memberi dana sebanyak RM500,000 sebagai ganjaran kepada pemenang kategori Filem Terbaik.

“Ini adalah inisiatif yang sangat bagus. Ia bukan sahaja menggalakkan penyertaan, malah menjadi motivasi kepada pembikinan filem untuk terus menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan melangkah ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, mengulas projek terbaru yang sedang diusahakan, Usamah menjelaskan fokus mereka adalah untuk menyiapkan musim ketiga siri Ejen Ali.

“Mengikut perancangan awal, kami mahu menghasilkan sekuel Ejen Ali The Movie selepas melihat sambutan hangat diberikan.

“Cuma dengan situasi sekarang apabila pawagam terjejas ditambah pula kanak-kanak tidak dibenarkan menonton wayang, kami terpaksa tangguh hasrat itu.

“Kita kena tunggu masa sesuai. Namun, saya bersyukur dikurniakan rezeki menghasilkan siri Ejen Ali Musim 3 yang menyaksikan kami bekerjasama dengan Disney+ Hotstar.

“Ini suatu projek baharu yang sangat mengujakan. Kerja produksi untuk siri ini sudah separuh jalan dengan sasaran tayangan tahun depan,” katanya.

Filem Ejen Ali The Movie yang menemui penonton di pawagam pada 28 November 2019, pernah meraih kutipan RM30 juta.

Filem ini berkisar kanak-kanak berusia 12 tahun, Ali, direkrut menjadi perisik di Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa dikenali sebagai IRIS atau Infinity Retinal Intelligence System. Inovasi baharu itu dipersoalkan Ali apabila dia berasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat