KUALA LUMMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan meneliti dan memantau rapat perkembangan dan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas atau Hamas International Financing Prevention Act sekiranya diluluskan Dewan Perwakilan Rakyat Amerika Syarikat (AS).
Jelasnya, sekiranya RUU Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas ini diluluskan, Malaysia akan terus menggesa AS untuk menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk keamanan antarabangsa, serta tegas dalam menghormati undang-undang antarabangsa dan konvensyen yang berkenaan, terutamanya untuk keadilan kemanusiaan.
Tegas Anwar lagi, atas dasar dan prinsip kemanusiaan, kerajaan tetap berpendirian teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Malaysia menolak penjajahan, dasar-dasar apartheid rejim zionis terhadap rakyat Palestin dan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penganiayaan, pembunuhan orang awam baik di Gaza atau di mana-mana sahaja.
“Apa yang berlaku di Gaza pada hari ini adalah pengeboman secara keterlaluan dan sewenang-wenangnya oleh Israel di kawasan-kawasan awam serta tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik dan makanan ke Gaza iaitu Israel’s actions are neither proportionate nor lawful di bawah undang-undang antarabangsa.
“Setakat 6 November 2023, sejumlah 9,914 kematian direkodkan dengan 4,800 daripadanya adalah kanak-kanak manakala 2,509 daripadanya adalah wanita. Jelas sekali crimes against humanity or war crimes have been committed in Gaza,” kata Anwar.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.
Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata, pada 1 November 2023, Dewan Perwakilan Rakyat Amerika Syarikat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas (Hamas International Financing Prevention Act).
“RUU tersebut bertujuan bagi mengenakan sekatan-sekatan seperti saluran kewangan kepada individu, agensi atau kerajaan asing yang memberi sokongan kepada Hamas atau kumpulan militan lain yang beroperasi di Gaza, seperti Jihad Islam Palestin.
“RUU ini telah pertama kali dicadangkan kepada Kongres AS oleh Brian Mast pada 12 Januari 2023. Beliau adalah ahli Kongres AS yang mewakili Florida sejak tahun 2017 serta merupakan seorang veteran dengan izin Israel Occupation Forces (IOF).
“RUU tersebut telah melalui fast-tracked passage di Dewan Perwakilan Rakyat AS susulan daripada serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023. RUU tersebut selanjutnya akan dibentangkan untuk pertimbangan Dewan Negara atau Senate, sebelum ditandatangani oleh Presiden Amerika Syarikat sekiranya diluluskan,” hurai beliau.
Menurut Anwar lagi, keputusan Kongres AS untuk meluluskan RUU ini adalah untuk memperlihatkan usaha berterusan Kongres AS supaya Kerajaan AS menekan mana-mana Kerajaan asing atau pihak yang menyalurkan bantuan kepada Hamas.
Kata beliau, RUU ini juga dilihat sebagai salah satu unsur ugutan kepada pihak yang ingin membantu rakyat Palestin yang telah lama ditindas oleh rejim Israel.
Pun begitu, tegas Anwar Hamas tidak pernah diklasifikasikan sebagai entiti atau organisasi penganas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun terdapat cadangan daripada Negara-Negara Barat untuk berbuat demikian.
“Sekiranya Majlis Keselamatan PBB mengklasifikasikan sesebuah entiti sebagai satu organisasi penganas, Malaysia perlu meratifikasi pelaksanaan senarai sekatan (sanctions list) dalam penguatkuasaan undang-undang anti keganasan.
“Senarai sekatan ini diselia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Dalam masa yang sama, pendirian Kerajaan Malaysia adalah hanya untuk mengiktiraf sekatan yang diklasifikasikan oleh Majlis Keselamatan PBB dan bukan sekatan sehala (unilateral sanctions),” katanya.
Meskipun pendirian Malaysia tetap teguh dalam menyokong Palestin, namun Anwar berkata, sekiranya pelaksanaan RUU ini berkuatkuasa, ianya dijangka akan memberi kesan kepada Malaysia hanya sekiranya Pentadbiran Presiden Joseph Biden menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu kerajaan asing yang benar-benar terbukti telah memberi sokongan berbentuk material (kewangan atau bahan-bahan berkenaan bagi kelangsungan operasi) Hamas atau Jihad Palestin Islam.
Kata beliau, sebarang sekatan terhadap Malaysia juga mampu mempengaruhi penilaian Kerajaan AS dan syarikat-syarikat AS terhadap Malaysia, serta menjejaskan peluang-peluang pelaburan syarikat AS ke Malaysia.
“Kebarangkalian untuk RUU ini diluluskan di Dewan Negara (Senate) serta ditandatangani oleh Presiden Joseph Biden adalah tinggi berikutan kebanyakan anggota-anggotanya yang lebih bersifat pro-Israel.
“RUU yang bertujuan untuk mengenakan sekatan terhadap penyokong kumpulan pengganas Palestin atau to impose sanctions with respect to foreign support for Palestinian terrorism pernah diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Amerika Syarikat pada tahun 2021, namun RUU tidak berjaya mendapat kelulusan ahli-ahli Dewan Negara pada waktu tersebut,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Anwar berkata, Malaysia akan meneliti dan memantau rapat perkembangan dan pelaksanaan RUU ini sekiranya diluluskan.
“Malaysia juga akan terus menggesa Amerika Syarikat untuk menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk keamanan antarabangsa, serta tegas dalam menghormati undang-undang antarabangsa dan konvensyen yang berkenaan, terutamanya untuk keadilan kemanusiaan.
“Pada masa yang sama, kegagalan Majlis Keselamatan PBB untuk mencapai kata sepakat dalam memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin amatlah mendukacitakan.
“Sehubungan ini, adalah mustahak untuk Malaysia terus mendesak PBB agar perlindungan kepada rakyat Palestin terjamin berdasarkan undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
Anwar menegaskan, Malaysia juga akan meneruskan perjuangan mendapatkan hak dan usaha memberi perlindungan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin menerusi perbincangan bersama negara-negara yang sependapat, serta melalui pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti di peringkat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN, Pertubuhan Negara Islam OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations.