Kerajaan kurangkan belanja kerja publisiti, tak lebih RM100 juta setahun – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan kerja-kerja publisiti dan promosi kerajaan bagi tahun ini setakat Oktober 2023 tidak mencecah RM100 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,beliau telah mengarahkan supaya perbelanjaan dikurangkan untuk tahun depan 2024 dan selanjutnya bagi promosi dan publisiti hebahan kerajaan tidak melebihi RM100 juta setahun iaitu tidak lebih separuh daripada apa yang dibelanjakan sebelum ini.

Beliau menjawab soalan bertulis daripada P. Prabakaran (PH-Batu) yang bertanyakan jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital dan juga media televisyen sepanjang tahun sejak tahun 2020 hingga kini?

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, bagi tempoh tiga tahun antara 2020 hingga 2022, perbelanjaan untuk kerja-kerja pengiklanan, promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan telah mencecah RM700 juta.

“Ini bermakna secara puratanya lebih RM200 juta setahun telah dibelanjakan sepanjang dua pentadbiran yang lalu untuk menguar-uarkan usaha Kerajaan melalui semua platform media massa termasuk media cetak, media sosial dan juga media radio dan televisyen.

“Mengambil kira komitmen Kerajaan ini berbelanja dengan lebih berhemah, kerajaan ini komited untuk mengurangkan perbelanjaan komunikasi berkaitan. Pada tahun ini, perbelanjaan setakat Oktober 2023 tidak mencecah RM100 juta dan itupun berdasarkan kontrak yang telah dimeterai pada tahun lalu iaitu sebelum Kerajaan Perpaduan mengambil alih.

“Saya telah mengarahkan supaya perbelanjaan dikurangkan untuk tahun depan 2024 dan selanjutnya bagi promosi dan publisiti hebahan kerajaan tidak melebihi RM100 juta setahun iaitu tidak lebih separuh daripada apa yang dibelanjakan sebelum ini,” katanya.

Justeru, dalam soalan tambahan Prabakaran meminta penjelasan sekiranya peruntukan komunikasi dikurangkan, apakah langkah yang diambil Kerajaan dalam memastikan rakyat memahami dasar kerajaan khususnya Ekonomi Madani dan Belanjawan Madani?

Ulas Anwar, walaupun perbelanjaan komunikasi dikurangkan, kerajaan yakin penerangan kepada dasar dan perkhidmatan Kerajaan akan dapat dilaksanakan kepada rakyat dengan berkesan,

“Kerajaan mengambil pendekatan seperti berikut iaitu kerajaan akan memanfaatkan sebaiknya semua agensi dan jabatan termasuk saluran media Kerajaan bagi menyampaikan maklumat serta penerangan mengenai dasar-dasar Kerajaan kepada rakyat.

“Kedua, Kerajaan Madani akan berurusan secara langsung dengan komuniti dalam menunjukkan pendekatan Madani melalui pelaksanaan langkah cakna rakyat, termasuklah membaik pulih jalan berlubang, klinik dan sekolah daif. Tambahan pula, dalam Belanjawan 2024, program Komuniti Madani diperuntukkan RM1 bilion bagi membolehkan komuniti bermusyawarah menentukan program yang boleh menjana kegiatan ekonomi setempat.

“Ketiga, komunikasi terpenting sebenarnya ialah Kerajaan Madani membuktikan pencapaian serta keberhasilan dasar dan program yang dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan yakin pembaharuan yang dilaksanakan akan menghasilkan peningkatan kualiti hidup untuk dinikmati rakyat.

“Saya fikir sekiranya dasar dan usaha kita itu baik, maka ia akan diterima baik oleh rakyat seluruhnya,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat