KOTA KINABALU – Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berharap Kementerian Kewangan dan Kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk menyelesaikan isu runcing bekalan air di Sabah.
Kata Masidi, Kerajaan Sabah sudah ada tiga pelan fasa penyelesaian masalah bekalah air yang sudah sekian lama membebani rakyat di Negeri Bawah Bayu itu.
“Pertama sekali kita harapkan peruntukan ini dapat diperolehi segera dan saya difahamkan bahawa perundingan terakhir untuk memeterai perjanjian kerana ia dalam bentuk pinjaman mudah sedang dimuktamadkan, kita harapkan diperolehi pada tahun ini agar wang tersebut dapat dibelanjakan untuk menyelesaikan masalah air.
“Kita ada tindakan jangka pendek, sederhana dan juga jangka panjang untuk menyelesaikan masalah air.
“Untuk pelan jangka pendek untuk memperbaiki pengurusan jabatan air itu sendiri, kita dapati masalah besar, genting yang kita hadapi sekarang ialah akibat daripada barangkali kegagalan kita sendiri mengurus jabatan itu dengan baik misalnya baru-baru ini menteri yang bertanggungjawab mengenai air iaitu Menteri Kerja Raya maklumkan terdapat 270 sambungan haram berdekatan dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) saja.
“Jadi apabila sambungan haram ini dapat kita putuskan, secara automatik hampir menyelesaikan masalah air di UMS. Pengurusan jabatan air itu sendiri kita baiki supaya kakitangannya lebih efisyen,” katanya kepada Suara.TV.
Mengulas lanjut, kata Masidi untuk pelan jangka sederhana pula, kerajaan berusaha memastikan projek-projek yang ada kaitan dengan air sekarang dapat dipercepatkan.
“Contohnya untuk bekalan air di Kota Kinabalu, Air Fasa 2 di Telibong 2, di Tamparuli, itu sudah siap tapi perlu air itu dihantar ke Kota Kinabalu dan kita menunggu jajaran atau penyiapan lebuh raya Pan Borneo ini supaya paip yang menghantar ini dapat diselaraskan dengan jajaran jalan raya tersebut itu saya jangka dapat selesaikan sebahagian masalah besar di Kota Kinabalu.
“Bagi pelan jangka panjang, kita ada beberapa pilihanlah satu membina empangan, kedua untuk bagaimana kita menggunakan empangan hidro di Tenom itu untuk mengeluarkan air untuk dibekalkan ke utara Sabah iaitu Kota Kinabalu dan kawasan sekitar ia memerlukan belanja yang besar tetapi kalau ini dapat kita urus dengan baik Insya-Allah barangkali semua masalah air boleh diselesaikan,” jelas Masidi.
Menurut beliau, rancangan jangka pendek akan diselesaikan dalam masa terdekat kerana ia melibatkan pengurusan jabatan itu sendiri, bagi jangka sederhana itu untuk memastikan air dari Telibong dapat dibekalkan ke Kota Kinabalu secepat mungkin dan ia mungkin awal tahun depan dapat dibuat atau paling lambat Ogos 2025 dan untuk menyelesaikan secara keseluruhan Pantai Barat saya ingat ia memerlukan masa sehingga 2029.
Pada 6 Mac 2024, Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah, Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kelulusan itu diperoleh selepas Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memohon penyelarasan semula kos, susulan kelulusan Jemaah Menteri pada 27 Sept 2023 yang memperuntukkan RM300 juta secara pinjaman untuk menyelesaikan isu tersebut.