KOTA KINABALU – Gagasan Rakyat Sabah (GRS) buat masa ini masih belum memuktamadkan hala tuju mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sama ada berjuang bersendirian atau bekerjasama.
Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan, GRS bukan parti yang rakus untuk membolot semua kuasa.
Tetapi katanya, sebagai sahabat kepada kerajaan maka persahabatan itu penting dan berpaksikan kepada yang betul-betul ada keikhlasan untuk bekerjasama dan bukan sekadar merebut jawatan Ketua Menteri Sabah.
“Buat masa ini kita belum lagi membuat keputusan sama ada kita perlu bekerjasama atau kita bersendirian. Ini telah dijelaskan oleh Ketua Menteri sendiri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS bahawa buat masa ini kita belum buat keputusan.
“Tumpuan kita pada masa ini ialah untuk bekerja menyelesaikan masalah pokok dan bukannya masalah politik.
“Tapi suka saya jelaskan di sini bahawa GRS bukan satu parti politik ingin membolot semua kuasa, kita bersedia untuk berkongsi kuasa dengan pihak parti-parti politik lain yang sealiran dengan kita,” katanya kepada Suara.TV.
Sealiran maksud beliau ialah mereka yang berlatarkan akauntabiliti dalam kerajaan sebagai asas tertinggi dalam mentadbir kerajaan.
“Kedua kita mahu juga pastikan mereka yang ingin bekerjasama dengan kita memastikan kerajaan negeri ini akan terus berjalan tanpa rasuah, tanpa salah guna kuasa dan tumpuan khusus diberi dalam memastikan ekonomi itu kuat, tumpukan sepenuh perhatian dan kita tidak mahu terlibat dalam politik kecil-kecilan yang mengambil perhatian kita daripada tugas kita melaksanakan tanggungjawab kita sebaik-baiknya.
“Kita selesa dengan rakan kita dalam kerajaan dan saya harap mereka juga selesa dengan kita, saya rasa tidak ada keperluan untuk kita terburu-buru untuk menyatakan pendirian kita yang penting ialah semua dalam kerajaan ini masing-masing bekerja keras untuk melaksana tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.
Ditanya sama hubungan GRS dan Umno tegang, Masidi menjelaskan dalam politik ini banyak perkara tidak terduga boleh berlaku.
“Kadang-kadang bila orang bercakap api dalam sekam ini kadang-kadang tidak ada api pun kadang-kadang ada api ia berlaku tiba-tiba.
“Apabila dulu ada usaha menjatuhkan Datuk hajiji sebenarnya terus-terang saya mengatakan tidak ada yang terduga itu akan berlaku, tiba-tiba muncul begitu saja, kita pun terkejut.
“Tapi saya hanya boleh katakan dalam konteks politik Malaysia ini sukar untuk kita menduga apa yang akan berlaku pada masa akan datang
seperti kata orang, dalam politik satu hari itu adalah masa yang terlalu panjang untuk kita duga apa yang akan berlaku.
“Jadi bagi kita di Sabah dalam GRS itu sendiri bila kita bercakap soal hubungan kita, niat kita ikhlas. Yakni betul-betul ikhlas untuk memajukan Sabah.
“Kalau kamu ingin bekerjasama dengan GRS intipati segala persahabatan ialah keikhlasan, kedua perakuan untuk melaksanakan dan mengurus kerajaan dengan penuh tanggung jawab dengan baik, ada akauntabiliti yang tertinggi dan bersih daripada semua salah guna kuasa.Jadi kalau itu semua kita persetujui dan siapa tahu, apa pun di dunia ini semua boleh dibincang,” kata Menteri Kewangan Sabah itu lagi.
Beliau yang juga Adun Karanaan memberitahu, Sabah terlalu luas dan adalah baik ia ditadbir bersama.
“Sabah ini terlalu untuk dikongsikan, untuk kita tadbir sama-sama lah. Kalau kita lihat kepada sejarah politik lama sebahagian daripada masalah politik di Sabah ini terdiri daripada apabila dia fikr harus ambil semua kuasa.
“GRS ini bukan parti yang rakus untuk membolot semua kuasa tapi sebagai sahabat kepada Kerajaan, persahabatan itu penting dan berpaksikan kepada betul-betul ada keikhlasan untuk bekerjasama dan bukan sekadar merebut jawatan Ketua Menteri.
“Itu (jawatan) urusan Allah, kita jangan berpolitik kerana ingin jadi Ketua Menteri, mari kita bekerja kerana kita mahu berkhidmat kepada rakyat
kalau suci niat kita, kita sucikan semua niat kita semua perbuatan kita yang lain akan jadi sebahagian daripada amal ibadah,” jelas Masidi.