Pengerusi Asean 2025: Malaysia disaran ketuai rundingan pertikaian maritim dengan China

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia wajar memanfaatkan peranan sebagai bakal Pengerusi Asean 2025 untuk mengetuai rundingan antara negara-negara Asean dengan China berkait pertikaian maritim di Laut China Selatan.

Pegawai Khas (Hubungan Antarabangsa) kepada Timbalan Perdana Menteri II, Neow Choo Seong berkata, kedudukan ini memberi ruang kepada Malaysia untuk membantu memuktamadkan dokumen awal Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, selaras dengan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak (DOC) dan peruntukan UNCLOS 1982.

“Sebagai bakal Pengerusi Asean pada tahun 2025, Malaysia mempunyai peluang untuk memainkan peranan yang lebih signifikan dalam mengetuai rundingan antara negara-negara Asean dan China.

“Ini akan menjadi langkah penting dalam memastikan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dikekalkan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam menangani isu-isu serantau melalui diplomasi.

“Dalam menghadapi cabaran geopolitik ini, kita mesti bersatu mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara, tanpa mengorbankan hubungan baik dengan rakan-rakan strategik.

“Dengan pendekatan diplomasi yang bijak, Malaysia akan terus memainkan peranan utama dalam memastikan keamanan dan keselamatan perairan di rantau ini, serta memastikan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” saran beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Choo Seong malah menyatakan keyakinan dengan kepimpinan yang terbuka dan dinamik di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.

“Kita dapat menyelesaikan sebarang isu perairan ini secara aman dan damai. Pendekatan diplomasi yang matang dan berhemah adalah kunci kepada keamanan serantau.

“Malaysia juga telah menunjukkan bahawa sebarang konflik, baik di dalam negara mahupun di rantau Asia Tenggara, tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa. Sebaliknya, konflik hanya akan memberi kesan buruk terhadap kestabilan ekonomi dan keselamatan serantau,” ujar beliau lagi.

Choo Seong tampil dengan saranan ini susulan isu perairan Laut China Selatan terus menjadi topik penting dalam lanskap geopolitik serantau, terutamanya bagi negara-negara yang terlibat seperti Malaysia.

Baru-baru ini, tindakan tegas Perdana Menteri Malaysia dalam menangani isu ini mendapat pujian ramai.

Kata Choo Seong lagi, pendekatan Anwar yang tegas dan tenang dalam menjelaskan pendirian Malaysia memperlihatkan komitmen kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara di kawasan maritim, sejajar dengan Peta Malaysia 1979 dan Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“Malaysia, sebagai sebuah negara maritim yang kaya dengan sumber asli seperti minyak dan gas, berhak untuk meneruskan penerokaan ekonomi di perairannya sendiri.

“Selagi kegiatan tersebut mematuhi undang-undang antarabangsa, terutamanya UNCLOS 1982, kita bebas menjalankan sebarang aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Dalam hal ini, kerajaan telah menegaskan bahawa setiap tindakan di perairan negara adalah sah dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak luar.

“China, yang merupakan rakan dagang strategik Malaysia dan Asean, mempunyai kedudukan istimewa dalam isu ini. Meskipun terdapat perselisihan dalam isu Laut China Selatan, hubungan erat Malaysia-China perlu dikekalkan melalui diplomasi dan dialog yang berterusan.

“Sebarang pertikaian atau isu yang timbul antara kedua-dua negara perlu diselesaikan secara damai, dan ini adalah selaras dengan prinsip Asean yang menekankan keamanan dan kerjasama serantau,” katanya.

Pada bulan Februari tahun ini, pihak Kerajaan China telah menghantar nota diplomatik kepada Malaysia, menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat kedua-dua negara. China turut mengajak Malaysia untuk terus menyelesaikan pertikaian maritim melalui rundingan dan dialog damai, satu tindakan yang mencerminkan komitmen bersama untuk mengekalkan keamanan di rantau ini.

Justeru menurut Choo Seong, dalam menangani isu sensitif seperti ini, penting bagi semua pihak untuk tidak mempolitikkan keadaan atau cuba melaga-lagakan Malaysia dan China.

“Isu perairan negara adalah perkara serius yang memerlukan kebijaksanaan kepimpinan dalam menyelesaikannya.

“Kita perlu memberi kepercayaan penuh kepada pemimpin kedua-dua negara untuk berunding dan mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak tanpa campur tangan yang boleh merumitkan keadaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat