KOTA KINABALU – Sabah Maju Jaya yang diuruskan SMJ Energy Sdn Bhd (SMJESB) boleh diibaratkan seperti langit dan bumi dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana tiada satu sen dana yang hilang atau diseleweng.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun tampil memperbetul persepsi yang mengaitkan Sabah Maju Jaya dengan 1MDB.
“Sabah Maju Jaya sebenarnya barangkali persamaannya atau cubaan memperkait dengan 1MDB sendiri antara langit dan bumi, masalah 1MDB ialah penyelewengan duit dan ini tidak timbul dalam SMJESB.
“SMJE ini adalah terbitan sukuk Islam, sukuk wakallah yakni segala penggunaan duit terbitan bon itu telah dinyatakan dengan jelas untuk apa dan semua ini dilaksanakan.
“Jadi, soal kita akan mengikut jejak 1MDB itu tidak timbul kerana tidak ada satu sen pun yang hilanglah dan ia telah digunakan seperti mana yang matlamat asal untuk menyelesaikan masalah,” katanya kepada Suara.TV.
Masidi malah memberitahu, sukacita dimaklumkan terbit daripada penerbitan sukuk tersebut Kerajaan Sabah dapat menyelamatkan pertamanya Bank Pembangunan Sabah (Sabah Development Bank).
“Kita juga dapat menyelesaikan hutang salah sebuah syarikat kerajaan yang dipanggil Sabah International Petroleum (SIP) yang berhutang kepada bank, kadang-kadang orang salah faham kenapa selesaikan masalah sebuah syarikat, syarikat ini milik kerajaan, hutangnya dijamin oleh kerajaan bermakna sebenarnya kita menyelesaikan masalah kerajaan itu sendiri dan bila kita selesaikan masalah SIP selain hutangnya turut dapat dibayar, dilunaskan.
“Kerajaan juga atau syarikat itu juga menyelamatkan dari segi interest (faedah) saja RM60 juta setahun. Erti betul kita ambil hutang baru dari segi penerbitan sukuk tapi kita dapat menyelesaikan hutang lama dan hutang baru ini lebih rendah berbanding kos dia daripada hutang lama
dan akibat syarikat milik kerajaan ini dapat melunaskan hutangnya kepada bank.
“Hari ini syarikat tersebut mampu untuk membuat keuntungan dan untuk rekod pada tahun lepas keuntungan sebelum cukai syarikat ini ialah RM98 juta pada tahun lepas sebelum itu kerugian demi kerugian.
“Jadi kadang-kadang masyarakat kena faham, kena melihat perspektif yang tepat untuk menilai sama ada ia betul-betul satu bentuk penggunaan wang yang tidak terkawal atau penggunaan wang yang sebenarnya memastikan banyak pihak khususnya dalam sistem kerajaan itu sendiri dapat kurangkan beban hutang di samping dapat menyelesaikan masalah kewangan,” jelas Adun Karanaan itu.