Pinda Laporan Audit 1MDB: Pendakwaan Selesai Kemuka Saksi Kes Najib, Arul Kanda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan telah menutup kesnya terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan audit terhadap syarikat pelaburan negara 1MDB.

Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihak pendakwaan telah menutup kes mereka terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas CEO 1MDB itu.

Pihak pendakwaan petang tadi menutup kesnya selepas memanggil 16 saksi untuk memberi keterangan, termasuk saksi utama Arul Kanda.

Sebelum ini, pihak pendakwaan dibenarkan memanggil Arul Kanda untuk memberi keterangan terhadap bekas Menteri Kewangan iaitu Najib.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan memutuskan pada akhir kes pendakwaan sama ada memerintahkan Najib membela diri atau tidak.

Hakim perbicaraan itu juga akan memutuskan jika tertuduh bersama Arul Kanda akan dibebaskan sepenuhnya atau diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Mohamed Zaini akan memutuskan apa yang akan berlaku kepada Arul Kanda selepas mahkamah mempertimbangkan keterangannya.

Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, Zaini menetapkan 7 dan 14 Oktober depan untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis dan mereka perlu datang ke mahkamah untuk penjelasan lisan pada 28 Oktober, lapor Malaysiakini pada Rabu.

Sri Ram juga telah memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan 18 saksi kepada pasukan pembelaan Najib dan Arul Kanda.

Sejak perbicaraan bermula pada 18 November 2019 selama 43 hari, antara yang menjadi saksi pendakwaan ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas pegawai Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad, dan bekas ketua setiausaha sulit Najib – Shukry Mohd Salleh.

Nor Salwani sebelum ini memberi keterangan telah menyelamatkan salinan laporan audit asal 1MDB daripada dimusnahkan, sebelum dakwaan pengubahsuaian dibuat ke atas laporan itu yang kemudian dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC untuk menghalang sebarang tindakan terhadapnya.

Manakala Arul didakwa bersubahat dengan Perdana Menteri ketika itu dalam membuat pindaan.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa selepas mesyuarat pada 24 Februari 2016, keputusan dibuat untuk mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu laporan audit 1MDB, termasuk membuang rekod kehadiran ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) pada mesyuarat lembaga 1MDB.

Satu lagi isu yang didakwa digugurkan daripada laporan audit itu ialah dua penyata kewangan syarikat pelaburan itu pada 2014 yang bercanggah.

Selain Arul dan Ali, orang lain yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ambrin, bekas pegawai Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, Shukry, dan kemudian wakil Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat