Lebih 10,000 Dijangka Hadir Meriahkan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2022

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Merdeka pada 23 hingga 25 Sept ini bagi memeriahkan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2022 (FPM@KL 2022).

Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Mesran Mohd Yusop yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan festival berkenaan telah dua tahun tidak dapat diadakan secara fizikal berikutan pandemik COVID-19.

“FPM@KL 2022 adalah program tahunan dan kali terakhir diadakan secara fizikal pada 2019 sebelum terhenti seketika pada 2020. Tahun lepas pula, kita mengadakannya secara dalam talian,” katanya dalam sidang media FPM@KL 2022, di sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran festival itu, yang merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran, demonstrasi, persembahan serta jualan, bertujuan menyemarakkan lagi permainan tradisional dan sukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Saya berharap festival ini dapat mengangkat dan memulihara keunikan seni serta kepelbagaian warisan tradisi rakyat. Selain itu, penganjuran festival ini juga diharap dapat menyediakan peluang menjana pendapatan kepada usahawan seni budaya sekali gus menggalakkan ekonomi setempat,” katanya.

Mesran berkata 1,368 peserta terdiri daripada badan beruniform dan sektor korporat terlibat dalam 10 pertandingan permainan trasional yang akan dikelolakan oleh Kelab Sukan Tradisional Harmoni, meliputi acara tarik tali, galah panjang, congkak, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain pelikat, dam, terompah gergasi, menyumpit dan memanah.

“Selain itu, orang ramai juga berpeluang menyertai permainan lagenda rakyat seperti kelereng, kaki hantu, lari dalam guni berkembar, tarik upih atau guni dan terompah gergasi,” katanya.

Beliau berkata turut diadakan Kejohanan Tarik Tali Terbuka Malaysia, pertandingan Pocket Bike yang melibatkan pelumba cilik dan pertandingan Gasing Pangkah atau MyGasing Championship membabitkan dua pasukan iaitu Brunei dan Singapura.

Menurutnya bagi memeriahkan lagi FPM@KL 2022, dua acara larian iaitu Larian Keluarga Malaysia dan KL Cultural Fun Run and Ride yang terbuka kepada semua, turut diadakan dan mereka yang berminat boleh mendaftar melalui laman sesawang www.raceasia.com. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat