Oleh: Zihan Zari
LUNDU – Seramai 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia cuba menyeludup masuk ke negara ini gagal, apabila mereka ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) pada Isnin.
Dalam tangkapan itu, PATI terbabit ditahan di sempadan di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Menerusi kenyataan Divisyen Pertama Infantri (1 Divisyen) memaklumkan kejadian berlaku ketika anggota TDM dan TNI-AD sedang melaksanakan operasi di Sektor Pos Gabma Biawak iaitu jarak lebih kurang 200 meter dari sempadan Indonesia.
Menurutnya, semasa sedang melaksanakan rondaan, anggota tentera mengesan sekumpulan 10 PATI sedang berjalan dalam keadaan mencurigakan daripada arah sempadan Indonesia.
Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan oleh anggota tentera mendapati kesemua suspek adalah PATI lelaki warganegara Indonesia berumur dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun.
“Kesemua suspek tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah, cuba menceroboh masuk ke Malaysia melalui laluan tikus dalam untuk bekerja sebagai pekerja kontrak dan ladang di Malaysia.
“Tiada barang larangan berbahaya ditemui, hanya wang tunai, telefon bimbit, dompet dan beg pakaian yang dianggarkan keseluruhannya berjumlah RM 11,430,” katanya.
Ujarnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.
Kesemua suspek telah di bawa ke sempadan negara untuk pengusiran
“Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis telah merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.
“TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” menurut kenyataan itu lagi – Suara.TV