Minyak sawit diunjurkan tunjuk prestasi lebih baik 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prospek industri minyak sawit dijangka menjadi lebih baik pada tahun ini selepas banyak perniagaan kembali beroperasi, pengeluaran yang mula meningkat dan penggunaan yang lebih tinggi dalam pasaran tradisional, kata seorang pakar perladangan.

“Harga minyak sawit akan melonjak walaupun sudah naik 40 peratus, dan ia akhirnya normal kembali, menjejaki lebih banyak bahagian pasaran. Ini juga mungkin disebabkan oleh ketersediaan vaksin COVID-19.

“Di India misalnya, yang merupakan pembeli minyak sawit terbesar, vaksin adalah kunci kepada pertumbuhan dan industri farmaseutikal India adalah sangat bagus dan inovatif,” kata Pengarah Godrej International Trading Investments Pte Ltd, Dorab Mistry pada hari ketiga Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia Maya 2021 (POTS Digital 2021) hari ini.

Beliau berkata susulan itu, kerajaan India menjangkakan pertumbuhan permintaan yang kukuh pada 2021, sambil menambah buat masa ini, mata wang India adalah sangat mantap.

Bagi China, penduduknya menggemari minyak sayuran yang lebih berkualiti berbanding penggunaan lemak haiwan.

“Pengguna China amat menitik beratkan kesihatan dan membuang minyak masak terpakai dengan lebih cepat,” katanya.

Pada penutupan dagangan semalam, kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif terus mengukuh untuk hari ketiga berturut-turut dengan penanda aras Mac 2021 ditutup pada paras tertinggi baharu iaitu RM3,877 satu tan.

Ia telah melangkaui tahap RM3,800 satu tan, paras tertinggi yang direkodkan sejak Februari 2011.

Dorab ketika mengulas mengenai pengeluaran berkata output minyak sawit pada 2020 adalah di bawah jangkaan, tetapi ia mungkin akan pulih pada separuh kedua 2021.

Beliau menganggarkan pengeluaran minyak sawit Malaysia akan mencecah 20 juta tan manakala Indonesia diunjurkan pada 50 juta tan, lonjakan kira-kira empat juta tan berbanding 2020.

“Pengeluaran tanaman akan pulih selepas bulan Ramadan (April/Mei) dan ini akan membawa kepada harga yang lebih rendah,” katanya lagi.

Beliau turut meramalkan komoditi itu akan membuat pembetulan yang singkat dan curam pada awal Januari-Februari sebelum pulih dan meningkat semula.

“2021 akan menjadi tahun dua bahagian tetapi secara keseluruhan ia akan menjadi tahun yang baik untuk ekonomi dunia.”

Pengarah Eksekutif Oil World, Thomas Mielke berkongsi pandangan yang sama dengan Dorab, mengatakan bahawa beliau melihat penurunan sederhana untuk minyak sawit pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan mengenai pengeluaran disebabkan kekurangan tenaga kerja dan berharap keadaan ini akan mendorong pelaburan yang lebih tinggi dalam mekanisasi pada 2021 dan 2022.

“Permintaan global terhadap minyak sawit akan pulih pada 2021. Pertambahan dalam permintaan import dunia memerlukan Indonesia meningkatkan eksportnya sebanyak 2.1 juta tan pada musim ini,” katanya lagi.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat